PRESIDEN MRA TERIMA ANUGERAH TOKOH MAULIDUR RASUL KEBANGSAAN 2010 PDF Print E-mail

Putrajaya, 26 Februari, 2010 – Dato’ Dr Abdul Razak Kechik, Presiden Malaysian Relief Agency (MRA) telah menerima Anugerah Tokoh Maulidur Rasul Kebangsaan 2010. Anugerah tersebut telah disampaikan oleh Timbalan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah pada majlis sambutan Maulidur Rasul peringkat kebangsaan di Masjid Putra di sini hari ini.

Lima penerima anugerah Maulidur Rasul yang lain ialah usahawan Faiza Bayumi Syed Ahmad, pendakwah dan penceramah bebas Datuk Abu Hassan Din Al-Hafiz, Pegawai Penyelidik Dr Tan Swee Lian, Pengarah Institut Penyelidikan Produk Halal, Universiti Putra Malaysia (UPM) Profesor Dr Yaacob Che Man, dan pelajar Nik Nur Madihah Nik Mohd Kamel. Sementara itu Timbalan Dekan di Institut Pemikiran dan Ketamadunan Islam Antarabangsa (ISTAC), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Datuk Dr Mahmood Zuhdi Abdul Majid diumumkan penerima Anugerah Perdana Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan pada tahun ini.

Dato’ Dr. Abdul Razak, 62 tahun, menerima ijazah perubatan dari Royal College Of Surgeon Of Ireland dan pasca ijazah MPH dari University Of Hawaii, Honolulu.  Beliau telah berkhidmat dengan Kementerian Kesihatan Malaysia selama 28 tahun dan memegang berbagai jawatan, antaranya ialah:

  1. Pengarah Hospital Kota Bharu, Kelantan.
  2. Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri Kelantan.
  3. Pengarah Hospital Alor Setar.
  4. Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu.
  5. Pengarah Hospital Kuala Lumpur.
  6. Pengarah Kesihatan Negeri Perak.

Selepas bersara dari perkhidmatan awam, beliau telah dilantik menjadi ketua penilai untuk program akreditasi hospital di bawah pertubuhan Malaysia Society for Quality in Health dimana beliau bertanggungjawab mengeluarkan sijil akreditasi kepada semua hospital di Malaysia untuk mempastikan mutu pengurusan dan perkhidmatan hospital di Malaysia berada ditahap yang terbaik.

Dato’ Dr. Abdul Razak bergiat aktif dalam kerja-kerja kebajikan dan kesukarelawanan  Beliau bergiat dalam program kebajikan Orang Asli Malaysia sejak 1980. Bermula di Kelantan dan sekarang berkembang ke Perak, Pahang dan Selangor.  Telah dilantik sebagai Ahli Majlis Penasihat Kebangsaan Pembangunan Orang Asli Malaysia (2005 sehingga sekarang).

Disamping itu, beliau juga adalah Pengasas Yayasan Kebajikan Anak Yatim Kelantan (YAATIM) dan telah menubuhkan 8 buah rumah anak yatim, antaranya:-

  1. Rumah Putera/Puteri Harapan (Kelantan)
  2. Rumah Putera/Puteri
  3. Rumah anak yatim Ubudiah Pendang (Kedah)
  4. Rumah Hidayah Kg. Cheh, Bukit Gantang (Perak)
  5. Rumah Penyayang Chemor (Perak)
  6. Rumah Putera Harapan, Ranau, Sabah

Bergiat dalam Global Peace Mission, Malaysia (GPM) sejak tahun 2000 dan menyertai misi perubatan serta kemanusiaan di Acheh, Pulau Nias, Pakistan, Jogjakarta, Lebonan dan Palestin.  Telah menubuhkan sebuah rumah anak yatim di Balakot, Utara Pakistan dan di Acheh.  Telah dianugerahkan Tokoh Global Peace Mission, Malaysia pada tahun 2005 dan dilantik sebagai Presiden Global Peace Mission, Malaysia pada awal tahun 2006 hingga hujung 2007.

Pada awal tahun 2009, beliau bersama dengan beberapa tokoh bantuan kemanusiaan telah menubuhkan Malaysian Relief Agency dimana beliau telah dilantik menjadi Presiden. MRA kini giat menjalankan kerja-kerja bantuan kemanusiaan di dalam dan di luar negara. Antara projek-projek yang telah dan sedang dilaksanakan ialah bantuan kepada penduduk Palestin khususnya Gaza, bantuan kepada pelarian perang Sri Lanka, bantuan kepada mangsa konflik di Selatan Thai dan bantuan kepada mangsa gempa di Padang. Di dalam negara pula, MRA menghulurkan bantuan berterusan kepada masyarakat terpinggir khususnya masyarakat orang asli dan pelarian yang mencari suaka politik di Malaysia.

Dr. Mohd Daud Sulaiman, Setiausaha Agung MRA dalam kenyataan beliau mengucapkan  syabas dan tahniah kepada Dato' Dr Abdul Razak Kechik. Seluruh warga MRA sangat berbangga dan berbesar hati dengan anugerah tersebut. Dr. Mohd Daud berharap semoga semua sahabat MRA terus komited dan konsisten dengan kerja-kerja bantuan kemanusiaan di dalam dan luar negara.