
MRA terima sumbangan sebuah Proton Exora
KUALA LUMPUR 26 Dis. - Malaysian Relief Agency (MRA) menerima sebuah kenderaan pelbagai guna Exora daripada pengeluar kenderaan nasional, Perusahaan Otomobil Nasional Bhd. (Proton), pada Jumaat lalu.
Pengarah Eksekutif MRA, Mohd. Shahrulazilan Said berkata, sumbangan kenderaan ini sebagai pengiktirafan organisasi korporat terhadap kerja-kerja bantuan kemanusiaan yang dilaksanakan oleh MRA.
"Semoga inisiatif korporat yang dilaksanakan Proton dapat dijadikan contoh oleh organisasi korporat lain mengikut kapasiti dan kemampuan dalam bidang serta ruang lingkup operasi mereka yang tersendiri," katanya dalam kenyataan akhbar di sini, hari ini.
Penyerahan kenderaan tersebut dilakukan oleh Pengerusi Proton, Datuk Seri Mohd. Nadzmi Mohd. Salleh kepada wakil MRA, Datuk Dr. Abdul Razak Kechik di Pusat Kecemerlangan Proton, Shah Alam.
Menurut Mohd. Shahrulazilan, langkah Proton itu amat bersesuaian dengan tema Proton Prihatin yang sedang digerakkan.
"Kenderaan ini akan digunakan untuk membantu MRA memantau kerja-kerja bantuan kemanusiaan yang sedang berjalan di seluruh negara.
"Pemilihan MRA sebagai penerima kenderaan ini pastinya berkait rapat dengan tugasan-tugasan yang telah dan akan dilaksanakan di peringkat negara dan juga antarabangsa," ujarnya.
Mohd. Shahrulazilan berkata, MRA amat komited dengan tugasan bantuan kemanusiaan dan sumbangan itu akan meningkatkan lagi komitmen dalam pelaksanaan kerja-kerja tersebut.
"MRA kini melaksanakan program bersama Komuniti Orang Asli, Komuniti Pelarian Rohingya, Komuniti Orang Kurang Upaya dan Bantuan Banjir.
"Di peringkat antarabangsa pula, MRA mempunyai operasi di Thailand, Indonesia, Sri Lanka, Pakistan dan Somalia. MRA juga pernah membantu dan beroperasi di Gaza, Mesir, Jepun dan beberapa buah negara lain," katanya.











