Bulan Ramadan adalah bulan mujahadah dan bulan menuju ketaqwaan kepada Allah. Pada bulan yang penuh barakah ini pelbagai amalan ditingkatkan termasuk membaca al-Quran, solat-solat sunat, berzikir dan bersedekah.
Amalan seperti bersedekah amatlah dituntut sebagaimana menurut Hadis Nabi SAW : “Sedekah yang paling utama adalah sedekah di bulan Ramadhan.” (Hadis Riwayat Tirmidzi).
Pada waktu ini bukan sahaja umat Islam melatih diri mereka untuk berdisiplin dan menghindarkan diri daripada makan dan minum tetapi juga menginsafi bahawa di sana masih terdapat ramai lagi mereka yang berada di dalam kesusahan, tidak mampu merasai nikmat makanan dan minuman dan berada di dalam keadaan kehidupan yang sangat daif.
Maka bulan Ramadan mengajar umatnya untuk bersolidariti dengan masyarakat yang memerlukan agar bersama sama berlapar dan dahaga walaupun berkemampuan.
Malaysian Relief Agency (MRA) melihat peningkatan sumbangan sedekah kepada umat yang sangat memerlukan pada bulan Ramadan adalah sesuatu yang amat positif.
MRA juga menghantar bantuan sumbangan Ramadan yang disumbangkan oleh rakyat Malaysia yang pemurah ke luar negara khususnya ke negara-negara yang menghadapi konflik seperti di Yaman, Palestin, Syria dan Bangladesh dan juga negara jiran seperti di Filipna, Thailand dan Indonesia.
Namun begitu, sumbangan ke luar negara perlulah diseimbangkan dengan bantuan Ramadan di dalam negara.
Ini kerana di dalam Malaysia masih wujud umat yang berada di dalam cengkaman kemiskinan yang juga memerlukan bantuan dan tidak boleh diabaikan.
Oleh hal yang demikian, MRA melalui 7 cawangan di dalam negara melaksanakan program dalam negara sempena Ramadan al Mubarak untuk menyantuni mereka yang bekeperluan di dalam negara.