Penoreh getah miskin
Mungkin tidak ramai yang mengetahui penderitaan penduduk melayu miskin di daerah Sik dan Baling, Kedah yang terdiri daripada golongan penoreh getah ada hidup di dalam keadaan yang amat daif.
Dengan kadar harga getah yang merudum jatuh ke paras RM 1.60 sekilogram, sumber rezeki mereka amatlah terhad. Pendapatan bulanan mereka hanyalah sekitar RM 500-600 sebulan, itupun jika cuaca panas sentiasa dan tidak hujan.
Ada yang tinggal di dalam rumah-rumah yang terdiri daripada papan kayu terbuang, berlantaikan simen dan beratapkan zink. Di dalam rumah tiada perabot, hanya tikar menjadi alas tempat punggung berlabuh.
Melalui bantuan jaringan jururawat di klinik-klinik kesihatan dan guru-guru sekolah di sebahagian daerah tersebut, golongan asnaf ini dapat dikenalpasti. MRA Kedah telah berusaha untuk menyampaikan bantuan keperluan Ramadan dan juga iftar kepada keluarga dan anak anak penoreh getah yang terlibat.
Tidak dinafikan bahawa membasmi kemiskinan adalah tugas sukar yang memerlukan kerjasama bantuan institusi zakat negeri, syarikat korporat dan pemimpin setempat. MRA berharap agar langkah-langkah untuk membantu penoreh getah khususnya untuk pendidikan anak-anak mereka dapat dilaksanakan dengan segera.