DERITA PALU – DONGGALA BUKA MATA DUNIA


Gempa yang berlaku di Sulawesi kali ini bukanlah satu perkara yang kami jangka akan menjadi seteruk ini, namun inilah dia ujian yang Tuhan mahu berikan buat kita untuk senantiasa merasakan diri kita hamba dan kami pasti inilah hikmah yang diaturkan untuk kita yang berada di luar melihat penderitaan mereka dan turun membantu atas nama kemanusiaan sejagat.

Tanggal 28 September 2018 yang lalu, dunia dikejutkan dengan gempa bumi kuat berskala 7.5 Ritcher sehingga berlakunya Tsunami yang melanda Palu dan Donggala di Sulawesi tengah Indonesia. Ia berlaku dengan cepat dan sekelip mata meranapkan seluruh kediaman manusia yang ada tanpa kasihan. Ombak tinggi yang deras memutihkan bumi Palu dan Donggala. Hampir 1600 orang terbunuh dalam tragedi ini dan ribuan kehilangan tempat tinggal. Malah kami dimaklumkan masih ada lagi mangsa yang belum dijumpai. Tertimbus dalam runtuhan yang masih belum bersentuh.

Indonesia terus menangis dan kami di Malaysia turut berduka. Hanya doa kami dahulukan agar semuanya terus stabil.

Malaysian Relief Agency (MRA) memulakan langkah pertama untuk menghulurkan bantuan segera ke Bumi Palu dan Donggala dengan menghantar pasukan peninjau dan kemanusiaan pertama dari Malaysian Relief Agency Caw Sabah sejak 2 Oktober yang lalu. Bukan mudah untuk sampai ke Palu berikutan logistik di lapangan yang menyukarkan pergerakan pasukan kami. Namun dengan bantuan rakan kemanusiaan kami di Indonesia, NGO Pos Keadlian Peduli Ummah (PKPU) perjalanan kami berjalan dengan baik.

PALU MASIH SAKIT

Keadaan di Palu dan Donggala kini masih lagi dalam keadaan yang benar-benar tenat dan memerlukan bantuan luar untuk membantu mangsa-mangsa gempa bumi yang selamat, malah usaha mencari mangsa yang masih tertimbus juga sedang giat dilaksanakan. Kami dimaklumkan jentera berat dari kerajaan Malaysia juga akan sampai ke sini untuk membantu operasi mencari dan menyelamat.

Kami juga difahamkan bahawa ancaman penyakit juga mula merebak seperti masalah kulit dan kolera yang dihidapi oleh mangsa gempa berikutan dengan sumber bekalan air bersih yang cukup terhad dan sehingga hari ini bantuan makanan dan ubat-ubatan menjadi perkara asas yang sangat dinantikan.

Lebih menyedihkan apabila ramai anak-anak kecil yang terpaksa mengemis dan menunggu di tepi jalan untuk mendapatkan bantuan dari pihak NGO dan Kerajaaan, kami pasti tidak semua mangsa memperoleh akses bantuan yang cukup buat masa ini.

LANGKAH MRA DI BUMI PALU

Untuk makluman, Malaysian Relief Agency (MRA) telahpun menubuhkan pusat kemanusiaan pertama di Palu untuk menyelenggara bantuan kemanusiaan yang sedang direncanakan untuk dihantar bila-bila masa dari sekarang serta mengurus sukarelawan khususnya dari bidang perubatan untuk tiba di bumi sulawesi.

Bantuan perubatan, makanan dan kit kebersihan merupakan misi utama pihak MRA di bumi palu pada peringkat awal ini. Rakyat Malaysia yang ingin menghulurkan sumbangan boleh berbuat demikian melalui akaun Public Bank 39885 91608 atas nama Malaysian Relief Agency Foundation.

Untuk maklumat lanjut, boleh menghubungi talian +60 13 455 7020 (Mohd Fadhil Baharudin) atau +60 3 9174 4672 (Pejabat MRA). –

   

   

   


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *