MRA agihkan sumbangan bernilai RM1.5 juta sepanjang PKP

KUALA LUMPUR: Malaysian Relief Agency (MRA) mengagihkan pelbagai sumbangan dengan nilai keseluruhan RM1.5 juta kepada petugas barisan hadapan dan asnaf sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Presiden MRA, Dr Mohd Daud Sulaiman, berkata sumbangan itu termasuk 115,950 topeng muka, 12,320 pelindung muka, 1,630 sut Peralatan Perlindungan Diri (PPE), 1,400 penutup kepala, 140 liter cecair basmi kuman (sanitizer) dan 15 unit pengesan suhu (thermometer) kepada klinik dan hospital yang memerlukan.

“Ia bagi melindungi keselamatan petugas perubatan supaya mereka dapat melaksanakan tugas dengan berkesan.

“Pada masa sama, MRA menyediakan 11,123 pek sarapan pagi dan makanan tengah hari kepada petugas berkaitan di samping 1,540 pek makanan tenaga bagi keperluan mereka sepanjang PKP.

“Bantuan ini bertujuan mengurangkan bebanan tugas di samping mendatangkan keceriaan kepada barisan hadapan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Daud berkata, sebanyak 5,000 pek makanan asasi dan 140 set keperluan bayi seperti susu formula dan lampin pakai buang bernilai RM310,000 diedarkan ke seluruh negara.

“Kita mendapat kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri dan daerah dalam perkara ini. Nilai itu bertambah dari semasa ke semasa kerana permintaan dari golongan asnaf adalah sangat tinggi.

“Di samping itu, MRA dengan kerjasama Persatuan Bekas Pelajar Maktab Rendah Sains MARA (ANSARA) menyumbang duaalat monitor pesakit dan dua mesin pam infusi bernilai RM37,600 kepadaUnit Rawatan Rapi Hospital Selayang, kelmarin,” katanya.

Leave A Comment