Kuala Lumpur: Malaysian Relief Agency (MRA) sudah menyalurkan bantuan peralatan perubatan dan edaran pek makanan bernilai RM9 juta sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Presidennya, Dr Mohd Daud Sulaiman berkata, sumbangan itu hasil dana sumbangan orang ramai dan syarikat korporat melalui Tabung Bantuan Covid-19 yang dilancarkan, sebelum ini.
“MRA juga ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) yang menyumbang bantuan kewangan berjumlah RM50,000 ke tabung itu.
“Hari ini, Perodua menyumbang pula sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Aruz sebagai penghargaan dan menyokong usaha murni MRA dalam membantu komuniti yang terjejas akibat pandemik Covid-19,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Penyerahan kenderaan itu dilakukan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Zainal Abidin Ahmad di Perodua Sungai Choh, Rawang.
Katanya, ia bukan sumbangan pertama, sebaliknya Perodua pernah menghulurkan sumbangan kenderaan kepada MRA pada 2013 dan 2018.
“Sumbangan ini tidak akan disia-siakan oleh pihak MRA dan akan lebih bersemangat dalam usaha membantu masyarakat khususnya di dalam negara,” katanya.