IRM, MRA, MASwings hantar bantuan peralatan, PPE ke Tawau, Sandakan

KUALA LUMPUR: Islamic Relief Malaysia (IRM), Malaysian Relief Agency (MRA) Sabah dan MASwings, bekerjasama menghantar peralatan perubatan dan kelengkapan perlindungan diri (PPE) ke Tawau dan Sandakan, 30 Oktober serta 8 November lalu.

Bantuan berupa 500 PPE, pelitup muka dan pelindung muka itu, untuk kegunaan petugas barisan hadapan, manakala Rapid Test Kit (RTK) dan pelitup muka daripada pihak Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) pula bagi kegunaan saringan umum di Tawau dan Semporna.

Penerbangan itu turut membawa bantuan untuk penerima dari IRM dan MRA di Tawau dan Sandakan.

Ketua Pegawai Operasi MASwings, Kapten Nasaruddin A Bakar, berkata MASwings dan kakitangannya melalui Jawatankuasa Kebajikan Islam MAG amat berbesar hati dapat menjayakan misi bantuan itu bersama IRM dan MRA.

“Penerbangan seumpama ini sebahagian tanggungjawab sosial korporat (CSR) kami dan ia kali kedua dilakukan ke Tawau bagi memastikan kelangsungan bekalan ke kawasan itu,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beberapa siri penghantaran bantuan kemanusiaan akan diteruskan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bagi memastikan bantuan dapat disalurkan ke kawasan yang memerlukan terutama di Pantai Timur Sabah yang juga zon merah.

IRM dan MRA Sabah mengalukan sebarang sokongan serta bantuan daripada pihak korporat, agensi kerajaan serta orang ramai bagi membantu meringankan beban mereka sepanjang tempoh PKPB ini.

Leave A Comment