Northport (M) Bhd bantu mangsa banjir

Kuala Lumpur: Prihatin dengan banjir yang melanda beberapa negeri, Northport (Malaysia) Bhd menganjurkan kempen derma yang memberi peluang kepada kakitangannya menyumbang dan membantu mangsa terjejas.

Ketua Pegawai Eksekutif Northport, Datuk Azman Shah Mohd Yusof berkata, sejak kempen dilaksanakan sebanyak RM14,692 berjaya dikumpulkan.

Beliau berkata, sumbangan itu diserahkan kepada Malaysian Relief Agency (MRA) sebagai organisasi kemanusiaan yang membantu mangsa bencana dan konflik di dalam serta luar negara.

“Pandemik Covid-19 menjejaskan ramai orang dan banjir menambah lagi kesan buruk kepada mereka.

“Kami berharap sumbangan ini dapat membantu meringankan beban mangsa banjir yang mana rezeki mereka turut terjejas akibat bencana itu,” katanya.

Azman menyerahkan sumbangan berkenaan kepada Presiden MRA, Dr Mohd Daud Sulaiman dalam satu majlis ringkas yang diadakan di ibu pejabat MRA di Cheras di sini, hari ini.

AZMAN Shah (kiri) menyerahkan sumbangan kepada Presiden MRA, Dr Mohd Daud Sulaiman dalam satu majlis ringkas di ibu pejabat MRA di Cheras.

Azman berkata, Northport terbabit dalam pelbagai misi bantuan kemanusiaan termasuk membantu mangsa banjir di Kelantan dan Pahang pada 2015.

Pada April lalu, Northport juga mengadakan kempen derma bagi memberi peluang kepada kakitangannya menyumbang dan menyokong petugas barisan hadapan dalam memerangi wabak Covid-19.

“Sumbangan yang dikumpulkan dalam kempen itu digunakan untuk membeli peralatan pelindung diri dan barangan makanan untuk diedarkan kepada hospital, klinik kesihatan dan balai polis sekitar Klang.

“Sumbangan derma itu adalah cerminan kakitangan kami yang prihatin, peka dan pemurah bagi membantu rakyat Malaysia. Northport akan terus bersama dengan mereka yang memerlukan,” katanya.

Sementara itu, Mohd Daud berkata, pihaknya mensasarkan RM500,000 untuk disumbangkan kepada mangsa banjir di seluruh negara melalui 10 cawangan MRA.

Menurutnya, bantuan yang akan diberikan merangkumi pek makanan asas, bekalan perubatan, susu bayi, selimut dan tuala serta pengurusan sukarelawan untuk kerja pembersihan selepas banjir.

“Kami mengucapkan terima kasih kepada Northport atas sumbangan kepada Tabung Bantuan Kecemasan Banjir 2021, bagi membantu mangsa banjir terutama di negeri terjejas teruk seperti Pahang, Johor, Kelantan dan Terengganu.

“Kami berharap Northport akan terus menjadi rakan strategik MRA untuk misi kemanusiaan di masa depan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 January 2021 @ 8:10 PM

Leave A Comment