” Kelihatan seorang askar Mat Saleh, berambut perang telah mengacukan senapang ke arah saya………”
Pada malam Januari 2005, kami berada di lapangan Aceh bersama kontijen Malaysia yang terdiri dari ATM Malaysia, Smart team Malaysia, pasukan Kementerian Kesihatan Malaysia dan sukarelawan sukarelawan Malaysia yang lain. Kami merupakan antara sukarelawan yang turut bersama dengan Kontijen Malaysia, tiba dengan pesawat Tentera Udara Malaysia. Pasukan kami terdiri dari Dr. Daud, 2 orang jururawat, dan saya berkhemah di hujung airstrip lapangan terbang Bandara Aceh. Kontijen Malaysia merupakan antara salah satu kontijen antarabangsa yang tiba ke Banda Aceh bagi memberi bantuan kemanusiaan kepada mereka yang terselamat dalam tragedi Tsunami. Tsunami yang berlaku pada 26 Disember 2004 selepas sambutan Hari Natal pada tahun tersebut merupakan Tsunami terbesar yang dicatatkan dalam sejarah dunia telah mengorbankan lebih 200 ribu nyawa.
Terdapat juga kontijen lain yang turut sama dalam misi bantuan kemanusiaan ini termasuklah pasukan bantuan dari Saudi, Pakistan, Belanda, Rusia, Germany, Switzerland, Amerika Syarikat dan Singapura. Kontijen Malaysia ialah kontijen yang terbesar di sana.
[yotuwp type=”videos” id=”cIqY2sxHcGc” ]
Suasana di sana pada malam hari panas dan bulan tidak kelihatan menjadikan keadaan gelap.
Tentera Indonesia (TNI) juga turut sama berkhemah disana. Mereka ditugaskan untuk mengawal persekitaran waktu itu. Kadang kala terdengar bunyi tembakan dari arah kawasan bukit. Mereka memaklumkan pada kami masih ada pertempuran antara TNI Dan GAM. Selang setiap jam akan ada gegaran aftershock gempa bumi, dengan skala antara 4 hingga 6 ritcher. Ianya cukup kuat untuk membuatkan kamu rasa bergoyang ketika berdiri. Kami sedar berkemungkinan Tsunami boleh berlaku pada bila bila masa sewaktu kami tidur. Sebagai langkah berjaga-jaga kami tidur dengan persediaan untuk berlari ke arah bukit bila perlu. Kami tidur tidak lena seolah olah tidur dengan satu mata terbuka. .
Pada malam itu Dr Daud meminta saya membuat pemeriksaan bekalan ubat yang baru sahaja sampai melalui pesawat Tentera Udara Malaysia. Pesawat itu berada di hujung sebelah sana anggaran lebih kurang 500 meter jauh dari tempat khemah kami berada. Keadaan lapangan terbang itu gelap disebabkan bekalan eletrik terputus. Saya memulakan perjalanan dengan membawa sebiji lampu picit kecil di tangan. Walaupun keadaan gelap gelita, tidak timbul pun rasa takut dalam diri saya. Bagi saya ini merupakan tugas saya dan ianya perlu diselesaikan segera.
Ketika saya melepasi separuh perjalanan ke arah tempat yang dituju, kedengaran satu suara bahasa asing mengherdik saya. Dan saya tidak memahaminya. Saya berhenti. Dan menghalakan lampu picit saya tadi dan menyulug ke arah suara itu. Kelihatan seorang askar Mat Saleh, berambut perang telah mengacukan senapang ke arah saya. Saya mengandaikan dia bertugas untuk mengawal bekalan ubat dari negaranya. Umurnya lebih kurang dalam lingkungan mungkin awal 20an,menurut tekaan saya.
Dia kelihat agak gelisah. Saya juga turut gelisah melihatnya kerana senapang tersebut dihalakan ke arah saya. Saya terus senyum dan bertanyakan dalam bahasa Inggris. Dia menjawab dalam bahasa Ingeris yang agak tersekat sekat. Rupa-rupanya dia merupakan tentera Russia. Terdapat dua orang Tentera Russia dan ini bermakna terdapat dua senapang Rusia dihalakan arah dada saya.
Secara spontan, saya perlahan-lahan menghulurkan rokok Malboro dari poket saya kepada mereka. ” American?” dia bertanya kepada saya. Saya memberi respon “Ya”. Dia tersenyum dan hilang rasa gelisahnya. Kami menghisap rokok bersama. Apabila saya melakukan kerja kerja seperti ini, saya sentiasa membawa rokok dan gula gula dalam poket saya.
“Saya membayangkan saya di siat-siat oleh anjing-anjing lapar.”
Setelah itu saya meneruskan perjalanan saya ke arah bekalan ubatan kami. Saya telah memperkenalka diri kepada anggota tentera kita yang mengawal di sana. Setelah selesai urusan pemeriksaan bekalan itu, saya mula berjalan balik ke arah khemah .
Kira kira 100 meter untuk sampai ke khemah tempat kami, kedengaran suara anjing berlari ke arah saya. Pada mulanya suara tersebut datang dari arah belakang. Kemudian ia seperti datang dari arah kiri dan kanan saya. Tetapi tidak pula kelihatan kelibat anjing. Yang kedengaran waktu itu bunyi tapak kaki anjing berlari dan salakan suara anjing. Tak nampak anjing anjing tu. Bunyi kuku-kuku anjing yang berlari diatas tarmac landasan ketika itu jelas dan ianya sangat tidak menyenangkan. Semakin banyak dan rapat pula bunyi-bunyi itu, nyata bilangan mereka ramai menurut perkiraan saya. Saya dapat melihat lampu dari khemah kami dalam jarak 100 meter. Saya mula berfikir, sekiranya saya mula berlari dari sini mungkin saya sempat sampai.
Tiba-tiba, kedengaran suara anjing-anjing tersebut dari arah depan saya pula. Saya merasakan seperti dikepung! Saya terbayangkan anjing-anjing itu pasti lapar!. Saat itu baru timbul rasa takut. Saya membayangkan saya di siat-siat oleh anjing-anjing lapar . Sebagai seorang pakar bedah orthopedik saya mula membuat buat ‘risk assessment’, saya mengjangkakan paling sikit saya akan terkena beberapa gigitan di kaki dan tangan. Paling kuat ianya mungkin boleh membawa maut.
Saya berdoa, “ya Allah, bantu lah aku!” .
Tiba tiba, kedengaran suara ” Pak! Sini !” Ada dua orang komando TNI yg berselindung dalam gelap di atas rumput tepi landasan kapal terbang. Dia membuka lampu picitnya dan menyuluh ke arah saya. Rakannya pula menghentak hentak butnya dan mengacukan M16 ( agaknya) kearah anjing anjing tadi. Kumpulan anjing itu telah berlari ke arah bukit. Anjing anjing itu kenal pula M16. Getus hati saya. “Takpa lah asalkan lari jauh dari saya. SELAMAT!”. Bisik saya lagi
Saya sangat terhutang budi dan mengucapkan ribuan terima kasih pada kedua-dua komando TNI tadi . Saya telah memberi kesemua rokok dan gula gula yang saya ada pada mereka . Hati saya berasa sangat syukur kepada Allah .
.
Sampai di khemah Dr Daud bertanya pada saya “Supply Ok?” Saya menjawab ” Semuanya ok”.
Saya mengambil wudhu, solat syukur dan ingin terus tidur. Dek kerana telalu penat, mata saya terus terpejam dan lena.
.
Gambar: Bekalan ubat dari Malaysia yang dibawa oleh Tentera Udara Malaysia. Lapangan terbang Aceh yang gelap. Ubat dan bekalan perubatan dari Malaysia setinggi ‘bukit kecil’ diedarkan bersama oleh NGO tempatan Indonesia.
✍ Catatan pengalaman
Dr.Hyzan Yusof – Misi Bantuan Kemanusiaan Tsunami Aceh