#disebalikkisah: “Tolonglah Bantu Anak Saya”! Gadis itu kian lemah dan sukar untuk bernafas…’


Saya perasan sepanjang perjalanan kami ke sebuah kampung kecil di hujung Banda Aceh ada seorang lelaki separuh umur diatas motosikal Honda nya (nama semua jenis motorsikal di Aceh) mengikuti belakang ambulan kami. Dr Daud dan saya bersama seorang doktor tempatan, Dr Herlina, sedang menuju ke klinik kecil yg agak jauh di sebuah kampung di pinggir pantai. Jalan nya berlubang-lubang dan berdebu.  Bersungguh-sungguh abang itu cuba mengejar ambulan kami. Banyak kali motorsikalnya ketinggalan dan akhirnya hilang dari pandangan saya.

Setelah sampai kami pun menjalankan rawatan di klinik di kampung tersebut. Klinik mobil itu berada di pondok kayu yang usang.

Akhirnya abang itu sampai, dia kelihatan tercungap-cungap dan keletihan.  Motorsikal tua nya pun nampak letih! Dibelakang nya kelihatan seorang anak gadis belasan tahun yang kelihatan lebih penat .  Abang itu memberi salam pada saya yang semasa saya sedang rehat sebentar di bawah pokok. Dr Daud masih gigih menjalankan rawatan. Anak Melaka ini seperti tidak tahu akan erti penat lelah.  Nama abang itu ialah Pak Basith Mizal. Dia ialah seorang pegawai di pejabat Agama di Banda Aceh.  Dia mempunyai hajat bahawa anak gadis nya yang berumur belasan tahun itu mempunyai masalah jantung. Gadis itu juga kian lemah dan sukar bernafas.  Menurut doktor tempatan anak itu memerlukan pembedahan segera. Tidak ada hospital di Aceh berupaya menjalankan pembedahan tersebut. Malah semua hospital di Banda Aceh hancur dan tidak beroperasi akibat Tsunami. Laut pula telah menelan segala harta benda mereka.

“Bantulah anak saya” ucap Pak Basidin dengan mata yang berlinang.  Dia kata dia diberitahu oleh temannya ada beberapa doktor pakar dari Malaysia yang tiba di Banda Aceh. Dia berdoa supaya dapat berjumpa dengan doctor-doktor Malaysia tersebut dan berharap agar anak gadisnya dapat dirawat oleh doktor-doktor pakar itu. Itulah sebabnya mengapa beliau mengejar ambulan kami tadi.
Saya bawa anak itu untuk diperiksa oleh Dr Daud. Dr Daud ialah seorang pakar jantung yang bagus dan amat terkenal di tanah air kita. Sementara Dr Daud memeriksa anaknya, Pak Basith berkongsi cerita dengan saya.

‘𝐴𝑖𝑟 𝑙𝑎𝑢𝑡 𝑦𝑎𝑛𝑔 ℎ𝑖𝑡𝑎𝑚 𝑡𝑒𝑟𝑢𝑠 𝑛𝑎𝑖𝑘 𝑑𝑎𝑙𝑎𝑚 𝑚𝑎𝑠𝑎 𝑦𝑎𝑛𝑔 𝑠𝑖𝑛𝑔𝑘𝑎𝑡..’

Semasa berlakunya Tsunami, Pak Basith, isteri, ibunya dan anak anak mereka berada di rumah dikampung mereka. Air naik dengan deras. Naluri pertama mereka adalah dengan berlari keluar dari rumah. Pak Basith meminta keluarganya jangan lari dan terus tinggal dalam rumah. Air laut yang hitam terus naik dalam masa yang singkat. Mereka terapung sehingga kepala mereka terkena ke siling rumah. Kesemua menjerit berdoa moga Allah selamat kan nyawa mereka. Sekiranya air naik lagi pasti mereka sekeluarga akan mati lemas. Semasa keadaan cemas itu, Pak Basith menasihatkan pada ahli keluarga nya supaya jangan berdoa untuk selamat kan mereka, tetapi berdoa agar mereka redha dengan ketetapan Allah. Sebeberapa ketika air mulai surut, mereka semua terselamat ! Apabila keluar dari rumah mereka melihat mayat-mayat  jiran dan orang-orang kampung disekitar kampung mereka. Ramai yang telah terkorban.

Dr Daud turun dari pondok itu dan berjumpa dengan Pak Basith dan saya. Dia mengatakan jantung anak gadis itu berlubang dan anak itu kian lemah. Gadis itu perlukan pembedahan awal. Saya dan Dr Daud saling berpandangan memikirkan cara untuk menguruskan pesakit ini di kampung terpencil di Aceh. Sekiranya anak ini tidak dibantu, umurnya tidak akan panjang.

Kami tahu ini sukar, tetapi dalam masa yang sama perkara ini agak mustahil tetapi kami bertekad. Insyallah apabila kita mempunyai niat untuk membantu, Allah akan bersama dalam pasukan kita. Kami yakin bahawa Allah akan mempermudahkan segala urusan.

Dalam masa beberapa minggu, anak gadis ini dan Pak Basith berjaya dibawa ke Hospital KPJ Damansara. Anak ini selamat menjalani pembedahan di hospital tersebut.  Selepas pembedahan selesai, anak ini menjalani rawatan rehabilitasi untuk beberapa minggu. Semua kos rawatan di tanggung oleh rakan-rakan di Malaysia dan Hospital KPJ Damansara. Selepas selesai rawatan dan rehabilitasi anak gadis dan Pak Basith selamat pulang ke Banda Aceh .

Pada tahun 2019, Dr Daud dan saya menerima teks wasap dari Ibu Rayhan, anak gadis tersebut. Beliau telah cuba melakukan pencarian di internet dan media sosial sejak beberapa tahun yang lepas. Beliau telah dewasa dan telah berkeluarga.  Dia baru tamat pengajian Ijazah Sarjana linguistik terapan di Universiti Monash, Australia dan juga mendapat biasiswa dari universiti Monash untuk menyambung pelajarannya. Ibu Rayhan mula bertugas sebagai seorang pensyarah di Universiti Islam Negeri Ar-Raniry Banda Aceh. Beliau, suami beliau dan anak anak nya akan ke Malaysia untuk  berjumpa kami . Beberapa hari kemudian kami berjumpa untuk makan malam di restoran di Damansara. Hanya Allah sahaja yang tahu apa yang kami rasakan apabila dapat berjumpa dengan Ibu Raihan , suami nya dan anak-anaknya yang comel.

Sangat gembira dan sangat terharu. Sangat bersyukur.

Kami tumpang bangga dengan pencapaiannya.

“Saya terhutang nyawa” ucap Ibu Rayhan kepada kami.

Catatan pengalaman
Dr. Hyzan Yusof
Misi Bantuan Kemanusiaan Di Aceh

#mra #malaysianreliefagency #misiBantuanKemanusiaanMRA #tragediTsunamiAcheh #humanitarianJournal


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *