“Adik berapa umur?, comel kecil jer..” Aku bertanya kepada ibu sang anak kecil yang sedang asyik menyedut susu sumbangan.
“10 tahun..”Jawab si ibu.
…….
Saat aku menapakkan kaki di sebuah kampung di Albay, Filipina iaitu Maonon, hati ini tersentak dan hiba dengan keadaan di sana. Kebanyakkan penduduk di sana bergantung kepada hasil laut sebagai sumber pendapatan mereka dan hidup hanya cukup makan. Mereka tidak mampu untuk membeli dan menyediakan makanan yang berkhasiat termasuklah susu untuk anak-anak.
Ada anak-anak yang sudah berumur antara 8 ke 10 tahun tapi fizikalnya seperti yang berumur 3 ke 4 tahun, kecil dan kurus. Anak-anak ini kurang nutrisi dan terbantut tumbesarannya. Setiap kali ke kampung tersebut, pasti aku dan kawan-kawan akan membeli makanan kepada mereka.
Ini menyebabkan, kedatangan aku dan kawan-kawan sentiasa ditunggu oleh mereka. Terbayang senyuman malu dan ucapan ‘Ate, salamat po’ atau ‘Kuya, salamat po’ kepada kami.
Begitu gembiranya mereka walaupun mendapat makanan yang tidak seberapa itu.
Saat itu, teringat betapa jauhnya penerimaan dan situasi di negara kita di mana kebanyakkan anak-anak mendapat keperluan dan nutrisi yang cukup untuk tembesaran mereka.
Di sini, kita boleh memilih apa yang terbaik untuk anak-anak sehingga terkadang membuatkan kita kurang bersyukur dengan rezeki yang Allah berikan.
MAKAN PANCIT SAHAJA (sejenis mee) digoreng kosong semata.
Sedangkan di sana, mereka terpaksa berusaha untuk memastikan anak-anak mereka dapat makan sekurang-kurangnya sekali walaupun ianya hanya pancit (sejenis mee) kosong yang digoreng dengan sedikit minyak.
Mereka dan kita memang tidak boleh memilih untuk dilahirkan miskin, namun, kita dan mereka boleh memilih untuk keluar daripada kemiskinan.
Sekurang-kurangnya, dengan usaha untuk keluar daripada keadaan tersebut dapat kita bagi kehidupan dan keperluan yang baik untuk anak-anak kita akan datang
✍Pengalaman
Farah Nur Wahyuni
Penyelaras Projek Antarabangsa