MRA bantu mangsa banjir di Sabah dan Sarawak

Kuala Lumpur: Kumpulan sukarelawan Malaysian Relief Agency (MRA) menyalurkan bantuan dari segi air bersih dan makanan kepada mangsa banjir di Sabah dan Sarawak.

Presiden MRA Dr Mohd Daud Sulaiman berkata, situasi banjir di dua negeri berkenaan pada kali ini menyebabkan ribuan mangsa terpaksa berada dalam keadaan sukar terutama dalam suasana perayaan Kamaatan-Gawai dan pandemik Covid-19.

“Walaupun sudah hampir dua minggu bencana banjir berlaku di Sabah dan Sarawak, usaha membantu mangsa bencana yang mula pulang ke rumah menjadi fokus utama MRA bagi membantu mangsa memerlukan bantuan.

“Dianggarkan lebih 5,000 mangsa banjir masih memerlukan bantuan dan sokongan daripada pihak berwajib dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk membantu mereka,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dr Mohd Daud berkata, pihaknya menyediakan bantuan air bersih melalui penghantaran lori tangki air berkapasiti 25,000 liter air bersih untuk diagihkan kepada penduduk Kampung Gadong, Beaufort, Sabah bagi kegunaan harian mereka, semalam.

“MRA Sabah juga sudah turun ke daerah Tenom, pagi tadi, bagi mengagihkan air bersih dan bantuan pek makanan kepada 70 keluarga di Kampung Kalibatang Lama, Kampung Kuala Tomani dan Kampung Merais yang terkesan teruk dengan banjir baru-baru ini.

“Dalam masa sama, MRA Sarawak sedang giat merangka pergerakan bantuan dan sokongan pasca banjir kepada mangsa yang akan pulang ke rumah masing-masing selepas banjir surut di kawasan pedalaman terjejas,” katanya.

Beliau berkata, antara fokus bantuan pasca banjir yang dicadangkan adalah membekalkan air bersih untuk kegunaan seharian dan minuman memandangkan mangsa banjir di pedalaman di Sabah terutamanya di kawasan mengalami isu bekalan air.

“Bantuan pek makanan asas, pek kebersihan diri dan pembersihan rumah pasca banjir juga akan menjadi fokus utama bantuan yang akan digerakkan dalam masa terdekat nanti.

“Bagi bantuan logistik pula, MRA juga akan meneruskan kerjasama dengan mereka yang memerlukan khidmat logistik bagi menghantar bantuan melalui kereta pacuan empat roda dan bot sebagai alternatif untuk kawasan yang terputus hubungan,” katanya.

Katanya, orang ramai yang mahu bersama-sama membantu meringankan beban mangsa banjir di Sabah dan Sarawak boleh menghulurkan sumbangan ke akaun Malaysian Relief Agency (Public Bank-3988591608).

Leave A Comment