140 keluarga Orang Asli di Maran dapat bantuan Ramadan

MARAN – Senyuman terpancar pada wajah 140 keluarga Orang Asli yang beragama Islam apabila mendapat bantuan Infaq Kasih Ramadhan yang diagihkan secara berfasa di beberapa buah perkampungan Orang Asli di sekitar Maran.

Pengerusi Malaysia Relief Agency (MRA) Pahang, Mahadi Deraman berkata, sumbangan juga diagihkan kepada golongan asnaf dan kumpulan B40 secara berperingkat di semua daerah di Pahang bermula 15 April lalu.

“Sumbangan tersebut berupa beg makanan mengandungi barang keperluan dapur, pek kebersihan dan toto untuk 1,000 penerima keseluruhan di Pahang,” katanya sambil mengalu-alukan sumbangan daripada orang ramai lagi.

Menurutnya, bantuan boleh terus membuat infaq secara atas talian di nombor akaun Maybank 556011094202.

Pegawai Majlis Agama Islam Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), Abdul Khalil Abdul Latif, berkata, pihaknya menghargai usaha sama yang dijalinkan antara pihak MUIP dan MRA bagi mengagihkan dan mengenalpasti golongan asnaf yang terlibat.

Bercakap kepada MalaysiaGazette, beliau berkata, MUIP bekerjasama dengan MRA untuk agihan kepada 91 ketua keluarga beragama Islam di Kampung Paya Bungor Gedung Siam, Kampung Orang Asli Batu 55, Kampung Sri Makmur, Kampung Bangas, Kampung Sg Jempol.

Ujarnya, MUIP terus komited dalam menyebarkan dan membimbing saudara baharu dalam kalangan masyarakat Orang Asli seperti memberi kelas didikan agama, selain daripada menghulurkan bantuan.

Bagi penerima bantuan, Ridzuan Atan Li, 17, teruja dengan sumbangan kali pertama diterimanya bagi keperluannya sebagai bekalan Ramadan.

“Bila tengok orang datang hantar bantuan semua, rasa seronok, bahagia. Terima kasih sebab bagi bantuan dekat kampung ini.

“Sebelum ini jarang-jarang dapat bantuan, jadi bila dapat rasa seronok,” katanya.

Sumber:

140 keluarga Orang Asli di Maran dapat bantuan Ramadan

Leave A Comment