MRA berjaya hantar sumbangan rakyat Malaysia ke Al-Quds

Kuala Lumpur: Malaysian Relief Agency (MRA) menghantar bantuan sebanyak RM85,000 untuk bantuan kecemasan fasa pertama kepada Al-Quds bermula minggu lalu susulan konflik Palestin-Israel sejak 7 Mei lalu.

Presiden MRA Dr Mohd Daud Sulaiman berkata, pihaknya melancarkan tabung kecemasan itu bermula 8 Mei lalu dan berjaya terkumpul sebanyak RM500,000 setakat ini hasil sumbangan rakyat Malaysia.

Menurutnya, ia bertujuan bagi membantu sebahagian usaha rakyat Palestin serta meringankan bebanan ditanggung oleh penduduk yang memerlukan khususnya kepada keluarga kehilangan tempat tinggal di Baitulmaqdis.

“MRA sudah menghantar bantuan sebanyak RM85,000 untuk bantuan kecemasan fasa pertama kepada Al-Quds bermula minggu lalu.

“Sumbangan dibahagikan kepada dua bahagian iaitu sumbangan bantuan bakul makanan kecemasan kepada 330 keluarga membabitkan RM55,000 dan sumbangan wang tunai (untuk bantuan sewa rumah) sebanyak 70 keluarga berjumlah RM30,000.

“Lokasi bantuan adalah di kawasan kejiranan Syeikh Jarrah, Wadi Aljoz, Selwan dan Rass Alamood berhampiran Masjid al-Aqsa dengan jumlah keseluruhan penerima seramai 2,000 orang,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Mohd Daud berkata, bagi fasa kedua bantuan pula, MRA akan menyampaikan RM300,000 untuk rakyat Gaza yang terkesan dengan konflik berkenaan.

“Bantuan itu akan membabitkan bantuan dalam bentuk wang tunai, bahan api dan petrol, selimut selain kelengkapan memasak seperti dapur serta gas memasak, bakul bantuan makanan, bekalan perubatan, kit kebersihan kesihatan dan bekalan air bersih.

“Dijangka penerima bantuan ini akan mencecah kepada 1,000 keluarga membabitkan 5,000 penerima bantuan,” katanya.

Beliau berkata, bagi fasa ketiga bantuan, MRA akan menumpukan bantuan berbentuk perubatan khususnya bantuan kepada mangsa perang, dengan kerjasama rakan persatuan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) perubatan yang bernaung bersama MRA di Mesir, Gaza dan Jordan di bawah Federation of Islamic Medical Association (FIMA).

Menurutnya, ia adalah persatuan perubatan Islam antarabangsa yang mana MRA sebagai ahli bersekutu sejak 2017. MRA mensasarkan peruntukan sebanyak RM200,000 bagi fasa ketiga.

“Bantuan ke Gaza bukan satu perkara baru buat MRA. Pada 2012 sehingga pertengahan 2013, MRA menganjurkan latihan klinikal kepada lima doktor pakar dari Gaza selama sembilan bulan bagi mendalami kemahiran latihan sub-kepakaran mereka.

“Program ini ditaja oleh MRA dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Gaza dan Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) bertujuan untuk menambah pengalaman dan meningkatkan tahap kemahiran merawat pesakit sukar dirawat.

“Ini adalah program perubatan berimpak tinggi yang julung-julung kalinya diadakan oleh mana-mana NGO Malaysia setakat ini,” katanya.

Katanya, selepas tamat latihan, kelima-lima doktor pakar itu kembali semula ke sana untuk menyumbang bakti mereka kepada rakyat Palestin di Gaza dan sehingga ke hari ini, MRA masih mengekalkan hubungan baik dengan doktor pakar terbabit melalui media sosial.

“MRA ingin menegaskan bahawa pengurusan bantuan kewangan kepada Palestin dijalankan dengan penuh tanggungjawab, akauntabiliti dan dengan tadbir urus yang baik.

“Segala sumbangan yang dihantar akan diuruskan dengan integriti membabitkan laporan kewangan dan dokumentasi yang tersusun.

“MRA sudah membantu Gaza sepanjang 12 tahun penubuhannya melalui pelbagai jaringan antarabangsa bersama NGO tempatan yang berdaftar dan boleh dipercayai,” katanya.

Orang ramai yang mahu membantu meringankan beban rakyat Palestin boleh menyumbang kepada Tabung Bantuan Kecemasan Untuk Palestin melalui akaun Malaysian Relief Agency Berhad melalui nombor akaun Maybank, 564098208020.

https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2021/05/708619/mra-berjaya-hantar-sumbangan-rakyat-malaysia-ke-al-quds

Leave A Comment