KUALA LUMPUR: Malaysian Relief Agency (MRA) melancarkan Tabung Infaq Bantuan Kecemasan Al-Quds sebagai tanda solidariti Malaysia kepada Palestin, bagi meringankan bebanan mereka selepas kehilangan tempat tinggal di penempatan Syeikh Jarrah, Baitul Maqdis.
Presiden MRA, Dr Mohd Daud Sulaiman berkata, tabung tersebut setakat ini telah berjaya mengumpul sebanyak RM60,000 hasil daripada sumbangan orang ramai dan menyasarkan kutipan sehingga RM200,000 pada akhir Syawal.
Sementara itu, Mohd Daud turut mengutuk sekeras-kerasnya serangan rejim Zionis Israel yang memusnahkan ketenteraman umat Islam di Masjidil al-Aqsa, Baitul Maqdis, Palestin, sejak beberapa hari lalu.
“Serangan bersenjata itu telah menyebabkan ratusan rakyat Palestin mengalami kecederaan dan terpaksa dirawat di hospital.
“Selain itu hampir 2,000 umat Islam Palestin khususnya di kejiranan Syeikh Jarrah yang sedang menjalani ibadah berpuasa di bulan Ramadan kini dihalau dari rumah dan menjadi mangsa kekejaman serangan tentera Zionis Israel,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau kesal dengan tindakan negara kuasa dunia yang kononnya menjuarai hak asasi manusia akan tetapi tidak mengeluarkan sebarang kenyataan tentang serangan bacul Israel malah hanya mendiamkan diri sahaja.
“Dalam Persidangan Geneva yang menjadi dasar kepada undang-undang kemanusiaan dunia menetapkan, serangan tidak boleh dilakukan ke atas rumah ibadah, penduduk awam yang terdiri daripada wanita dan kanak-kanak serta pusat yang menjadi tempat kakitangan perubatan merawat mangsa yang tercedera, namun prinsip asas ini tidak diendahkan.
“Penjarahan dan pencabulan rejim Zionis Israel ke atas hak asasi manusia dan prinsip kemanusiaan di dalam undang-undang antarabangsa ini amat dikesali,” katanya.
Dalam pada itu, MRA menggesa agar serangan bertali arus kepada rakyat Palestin serta pencabulan hak asasi manusia yang dilakukan Zionis Israel dalam bulan Ramadan harus dihentikan serta merta.
MRA menegaskan prinsip keadilan dan kesaksamaan antara kedua pihak yang bertelagah perlu diangkat bagi memastikan perjanjian keamanan di Palestin dapat dimeterai.–AlHijrah Online
Sumber: