MRA lancar tabung kecemasan rakyat Palestin

KUALA LUMPUR: Malaysian Relief Agency (MRA) melancarkan tabung infaq bantuan kecemasan al-Quds untuk rakyat Palestin termasuk mereka yang kini hilang tempat tinggal di Baitulmaqdis akibat tindakan kejam rejim Israel.

Presidennya, Dr Mohd Daud Sulaiman, berkata tabung berkenaan sehingga kini berjaya mengumpul RM60,000 hasil sumbangan orang ramai dan mensasarkan kutipan sebanyak RM200,000 untuk dihantar ke Palestin sehingga akhir Syawal.

“MRA mengalu-alukan sumbangan bagi mereka yang ingin membantu meringankan beban rakyat Palestin menerusi ‘Tabung Infaq Bantuan Kecemasan al-Quds’ melalui akaun Malaysian Relief Agency Berhad iaitu Maybank/5640 9820 8020 atau sila hubungi talian 013-337 1672 atau layari akaun facebook MRA untuk maklumat lanjut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohd Daud berkata, MRA mengutuk sekeras-kerasnya serangan rejim Zionis ke atas umat Islam di Masjid al Aqsa, Baitulmaqdis sejak beberapa hari yang lalu.

“Hampir 2,000 umat Islam Palestin terutama di kejiranan Syeikh Jarrah yang sedang menjalani ibadah berpuasa pada Ramadan kini dihalau dari rumah dan menjadi mangsa kekejaman Israel.

“Serangan bersenjata ini juga menyebabkan 300 rakyat Palestin cedera dan terpaksa dirawat di hospital,” katanya.

Beliau turut kesal dengan tindakan negara kuasa dunia yang dikatakan menjuarai hak asasi manusia, namun hanya mendiamkan diri daripada membuat sebarang kenyataan berhubung kekejaman itu.

Katanya, pada Persidangan Geneva yang menjadi dasar kepada undang-undang kemanusiaan dunia menetapkan, serangan tidak boleh dilakukan ke atas rumah ibadah, penduduk awam yang terdiri daripada wanita dan kanak-kanak serta pusat yang menjadi tempat kakitangan perubatan merawat mangsa yang tercedera, namun prinsip asas ini tidak diendahkan.

“Penjarahan dan pencabulan rejim Zionis Israel ke atas hak asasi manusia dan prinsip kemanusiaan di dalam undang-undang antarabangsa ini amat dikesali.

“MRA ingin menggesa serangan yang bertali arus kepada rakyat Palestin dan pencabulan hak asasi manusia pada Ramadan ini dihentikan serta merta.

“Prinsip keadilan dan kesaksamaan antara kedua-dua pihak yang bertelagah perlu diangkat bagi memastikan perjanjian keamanan di Palestin dapat dimeterai dan negara dunia perlu mengutuk perbuatan rejim Israel serta memberikan tekanan undang-undang kepada mereka,” katanya.

Leave A Comment