NGO Malaysia, Kedutaan Yaman lancar kempen bantuan kemanusian

KUALA LUMPUR : Dalam kegelisahan rakyat negara ini berdepan pandemik COVID-19, ada lagi masyarakat yang lebih menderita dengan mengharapkan bantuan daripada pihak lain untuk meneruskan kehidupan mereka.
Peperangan di Yaman memaksa rakyat negara itu bergantung kepada bantuan untuk membina semula kehidupan baharu.
Justeru itu, gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Malaysia dan Kedutaan Yaman hari ini melancarkan kempen bantuan kemanusian untuk meringankan penderitaan mangsa konflik mangsa peperangan di Yaman.
Menerusi kempen itu, Duta Yaman ke Malaysia, Dr Adel Mohamed BA Hamid berharap untuk mengumpul RM4.6 juta untuk membantu 22,000 pelarian yang terjejas yang memerlukan bantuan makanan, perlindungan dan kesihatan.
“Sejak keganasan pada akhir Mac 2015, Yaman kekal menjadi negara yang berdepan dengan krisis kemanusian terburuk di dunia.
“Kesan kumulatif dari konflik lebih enam tahun ini menyebabkan kemerosotan ekonomi dan keruntuhan institusi yang menyebabkan 24 juta atau lebih 80 peratus daripada penduduk negara memerlukan bantuan.
“Lebih teruk lagi kira-kira 13.5 juta penduduk berdepan dengan sekuriti makananan,” katanya dalam sidang akhbar di sini, pada Khamis.
Adel Mohame menjelaskan menurut laporan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) 2020, kira-kira 4.4 juta warga Yaman kehilangan tempat tinggal dengan 73 peratus daripadanya adalah wanita dan kanak-kanak.
Menurut IPC pula katanya, hampir 2.3 juta kanak-kanak berusia bawah lima tahun di Yaman dijangka berisiko kekurangan zat makanan.
“Oleh itu, gabungan NGO dan Kedutaan Yaman di Malaysia dengan kerjasama Malaysian Relief Agency (MRA), MyCare, Global Peace Mission (GPM), Altawasul, Insan dan masyarakat Yaman di Malaysia menyeru orang ramai turut menyertai misi kemanusian ini,” ujar beliau lagi.

Leave A Comment