Tabung Kemanusiaan Palestin Media Prima sumbang RM500,000 kepada MRA

Shah Alam: Tabung Kemanusiaan Palestin Media Prima menyerahkan sumbangan berjumlah RM500,000 menerusi Malaysia Relief Agency (MRA), hari ini.

Replika cek disampaikan oleh Pengurus Jabatan Komunikasi Strategik Kumpulan Media Prima Berhad (MPB) Mahathir Mohd Sidi kepada Presiden MRA Dr Mohd Daud Sulaiman.

Dr Mohd Daud berkata, pihaknya berterima kepada rakyat Malaysia yang menyumbang dan MPB kerana berusaha mengumpul dana bagi membantu rakyat Palestin

“Februari lalu, MRA menerima sumbangan sebanyak RM200,000 daripada Tabung Kemanusiaan Palestin Media Prima dan ia sudah disalurkan kepada 5,000 penduduk di Gaza.

“Antara bantuan diberikan seperti sumbangan baju sejuk, kelengkapan pelindung diri (PPE) kerana tidak terlepas daripada pandemik, kit kebersihan, cermin mata percuma kepada pelajar sekolah dan dana bagi pesakit kronik seperti diabetes yang menjalani rawatan di rumah dan hospital.

“Dana kali ini pula akan digunakan untuk bantuan bakul makanan, bahan api, kos perubatan untuk rawatan susulan selain sumbangan kepada sekolah, masjid serta hospital,” katanya ketika ditemui pemberita selepas selesai slot temu bual dalam program Malaysia Hari Ini di studio Ntv7 di Glenmarie, di sini, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Agung MRA Dr Shahrizal Azwan Samsudin dan Koordinator Projek Antarabangsa MRA Farah Nur Wahyuni Zainuddin.

Menurut Dr Mohd Daud, sumbangan Tabung Kemanusiaan Palestin Media Prima itu dijangka memberi manfaat kepada 30,000 rakyat Palestin dengan 20,000 daripadanya adalah penduduk Gaza.

Dr Mohd Daud berkata, sumbangan itu amat bermakna dan pihaknya yakin pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain turut komited membantu rakyat Palestin yang sebelum ini menjadi mangsa serangan rejim zionis.

“Pandemik masih berlaku jadi tiada keperluan mendesak MRA menghantar sukarelawan ke Gaza lebih-lebih lagi dengan adanya varian baharu.

“Bagaimanapun, kita akan terus memantau daripada sini dan apabila keadaan bertambah baik, MRA akan menghantar sukarelawan untuk menyertai misi di lapangan.

“Diharap, rakyat Malaysia, syarikat korporat mahupun agensi kerajaan terus beri sokongan dan sumbangan untuk membantu rakyat Palestin,” katanya.

Tabung Kemanusiaan Palestin Media Prima tidak pernah ditutup sejakdibuka November 2012 tetapi diaktifkan semula pada 18 Mei lalu susulan peningkatan provokasi dan serangan ke atas rakyat Palestin di Gaza oleh rejim zionis.

Orang ramai boleh terus menyumbang ke Tabung Kemanusiaan Palestin Media Prima menerusi akaun Maybank bernombor 564276510331.

Sumber: https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2021/07/725381/tabung-kemanusiaan-palestin-media-prima-sumbang-rm500000-kepada-mra 

Leave A Comment