Tabung Kemanusiaan Palestin Media Prima sumbang RM500,000

SHAH ALAM: Media Prima Berhad (Media Prima) hari ini menyerahkan hasil kutipan RM500,000 menerusi Tabung Kemanusiaan Palestin Media Prima kepada Malaysia Relief Agency (MRA) bagi membantu rakyat Palestin.

Sumbangan disampaikan Pengurus Jabatan Komunikasi Strategik Kumpulan Media Prima, Mahathir Mohd Sidi kepada Presiden MRA, Dr Mohd Daud Sulaiman.

Dr Mohd Daud berkata, sumbangan itu akan digunakan untuk menyediakan bakul makanan, bahan api, kos perubatan untuk rawatan susulan selain sumbangan kepada sekolah, masjid serta hospital.

“Februari lalu, MRA menerima sumbangan sebanyak RM200,000 daripada Tabung Kemanusiaan Palestin Media Prima dan ia sudah disalurkan kepada 5,000 penduduk di Gaza.

“Antara bantuan diberikan seperti baju sejuk, kelengkapan pelindung diri (PPE) kerana tidak terlepas daripada pandemik, kit kebersihan, cermin mata kepada pelajar dan dana bagi pesakit kronik seperti diabetes yang menjalani rawatan di rumah dan hospital,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas selesai slot temubualnya dalam program Malaysia Hari Ini di studio ntv7 di Glenmarie, di sini.

Yang turut hadir, Setiausaha Agung MRA, Dr Shahrizal Azwan Samsudin dan Koordinator Projek Antarabangsa MRA, Farah Nur Wahyuni Zainuddin.

Menurut Dr Mohd Daud, sumbangan Tabung Kemanusiaan Palestin Media Prima itu dijangka memberi manfaat kepada 30,000 rakyat Palestin dengan 20,000 daripadanya adalah penduduk Gaza.

Dr Mohd Daud berkata, sumbangan itu amat bermakna dan pihaknya yakin pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain turut komited membantu rakyat Palestin.

“Pandemik masih berlaku jadi tiada keperluan mendesak MRA menghantar sukarelawan ke Gaza lebih-lebih lagi dengan adanya varian baharu.

“Bagaimanapun, kita akan terus memantau daripada sini dan apabila keadaan bertambah baik, MRA akan menghantar sukarelawan untuk menyertai misi di lapangan.

“Diharap, rakyat Malaysia, syarikat korporat mahupun agensi kerajaan terus memberi sokongan dan sumbangan untuk membantu rakyat Palestin,” katanya.

Tabung Kemanusiaan Palestin Media Prima tidak pernah ditutup sejak dibuka November 2012, malah diaktifkan semula pada 18 Mei lalu susulan peningkatan provokasi dan serangan ke atas rakyat Palestin di Gaza oleh rejim zionis.

Orang ramai boleh terus menyumbang ke Tabung Kemanusiaan Palestin Media Prima menerusi akaun Maybank 564276510331.

Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/07/834551/tabung-kemanusiaan-palestin-media-prima-sumbang-rm500000

Leave A Comment