400 pelarian Rohingya terima pemeriksaan kesihatan percuma

KUANTAN – Seramai 400 pelarian Rohingya menerima pemeriksaan percuma melalui klinik bergerak dalam program MRA QFFD Mobile Clinic anjuran Malaysia Relief Agency (MRA).

Pengerusi MRA Pahang, Mahadi Deraman berkata, program tersebut bagi membantu golongan pelarian mendapatkan rawatan percuma berikutan tidak mampu menampung kos perubatan memandangkan berstatus warganegara asing.

Tambahnya, MRA QFFD Mobile Clinic adalah salah satu inisiatif yang digerakkan melalui dana daripada geran di bawah projek kesihatan Qatar Fund For Development (QFFD)  dan Yayasan Kebajikan Negara.

“Program selama empat hari bermula 11 hingga 14 November ini menjalankan operasi klinik bergerak kepada golongan pelarian di Kuala Rompin dan Kuantan bagi membantu memantau kesihatan kumpulan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program MRA QFFD Mobile Clinic di Medan Warisan, di sini, hari ini.

Menurutnya, seramai 130 keluarga bersamaan 400 pelarian Rohingya hadir mendapatkan pemeriksaan kesihatan dan lebih 100 kanak-kanak diberikan vaksin pecegahan penyakit.

Mahadi berkata, hasil pemeriksaan mendapati golongan tersebut mempunyai penyakit seperti kencing manis, masalah mental, darah tinggi dan pemeriksaan susulan akan dijalankan selepas tiga bulan.

“Golongan ini hanya mengharapkan rawatan percuma kerana mereka tidak mampu menampung kos rawatan di klinik swasta atau hospital kerajaan

“Walaupun selamat berada perlindungan di negara, namun dari sudut kesihatan, dan pendidikan perlu dibantu oleh badan bukan kerajaan (NGO) bagi melindungi kebajikan golongan pelarian,” jelasnya.

Selain pemeriksaan kesihatan dan pemberian vaksin kanak-kanak, sesi pendidikan kesihatan turut dijalankan kepada komuniti Rohingya. – MalaysiaGazette

Sumber:

400 pelarian Rohingya terima pemeriksaan kesihatan percuma

Leave A Comment

2021© MRA - Malaysian Relief Agency