Kesejahteraan komuniti keutamaan AIA PUBLIC Takaful


KUALA LUMPUR: AIA PUBLIC Takaful Bhd. (AIA PUBLIC Takaful) telah melancarkan Program Kongsi Rezeki, sebuah inisiatif komuniti dengan kerjasama Malaysian Relief Agency, sempena ulang tahun penubuhannya yang ke-10.

Menerusi program itu, 10 rumah anak yatim di seluruh negara menerima komputer riba baharu dan kelengkapan tempat tidur seperti  katil dan tilam serta keperluan harian yang lain.

Sumbangan bernilai RM250,000 diberikan bagi membantu lebih 500 orang anak yatim mendapat akses kepada pengalaman  pembelajaran dalam talian yang lebih baik, di samping tempat tinggal yang lebih selesa.

Ketua Pegawai Eksekutif AIA PUBLIC Takaful, Elmie Aman Najas berkata, sebagai sebuah organisasi yang komited terhadap kesejahteraan komuniti, usaha berkenaan adalah tanggungjawab bersama pihaknya untuk menyokong rumah-rumah anak yatim dalam usaha mereka membesarkan kanak-kanak yang lebih sihat dan ceria.

“Kami berharap sumbangan itu sedikit sebanyak dapat meringankan beban mereka sepanjang tempoh sukar ini, sekali gus membantu
anak-anak yatim tersebut lebih bermotivasi dalam pembelajaran mereka,” katanya.

Mengulas pencapaian AIA PUBLIC Takaful dalam menyediakan perlindungan kewangan dan menjamin harapan rakyat Malaysia  selama sedekad, Elmie berkata, syarikat tersebut sudah jauh berkembang menjangkau pengendali takaful tradisional.

“Fokus syarikat kini adalah untuk sentiasa mencari kaedah baharu dan inovatif bukan sahaja dari segi tawaran produk, tetapi juga
perkhidmatan tambah nilai untuk membawakan perubahan dalam hidup pelanggan,” tambah Elmie.

Susulan pandemik Covid-19, syarikat berkenaan melihat peningkatan dalam kesedaran dan minat untuk perlindungan takaful.

Begitu juga dengan permintaan yang lebih tinggi untuk proposisi kesihatan dan kesejahteraan peribadi serta khidmat nasihat profesional.

“Kami berbangga kerana dengan kerjasama 20,000 Perancang Hayat AIA Malaysia serta rakan kongsi, kami dapat memenuhi  permintaan itu melalui keupayaan digital dan teknologi kami,” katanya.

Beliau juga percaya, AIA PUBLIC Takaful mempunyai proposisi patuh syariah, ekosistem, sumber dan peralatan yang tepat untuk
memenuhi keperluan setiap pelanggannya di setiap peringkat kehidupan.

“Daripada pelan perlindungan mampu milik di bawah Perlindungan Tenang khusus buat golongan berpendapatan rendah sehinggalah penyelesaian perancangan legasi yang menawarkan pelanggan peluang untuk menyumbang semula kepada komuniti,  faedah takaful kami bukan hanya memenuhi keperluan kewangan dan perlindungan pelanggan kami, tetapi juga membolehkan  mereka melakukan amal jariah berterusan, walaupun apabila mereka sudah tiada,” katanya.

Ujarnya, sehingga kini, AIA PUBLIC Takaful telah membantu menyediakan perlindungan komprehensif bernilai RM61 bilion kepada rakyat Malaysia untuk menghadapi peristiwa yang tidak diduga.

Jelas beliau, takaful merupakan skim yang berasaskan konsep persaudaraan, perpaduan, dan tolong-menolong antara peserta. Oleh itu, bersama-sama peserta takaful, pihaknya telah menyediakan sokongan kewangan bernilai RM1.3 bilion kepada lebih 170,000  keluarga di negara ini.


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *