KUALA LUMPUR – AIA PUBLIC Takaful Bhd. (AIA PUBLIC Takaful) yang dimiliki bersama AIA Bhd., Public Bank Berhad (PBB) dan Public Islamic Bank Berhad (anak syarikat milik penuh PBB) meraikan ulang tahun ke-10 tahun ini, sedekad menyediakan sokongan kewangan serta menjamin harapan dan impian rakyat Malaysia.
Sejak 2011, AIA PUBLIC Takaful telah berkembang daripada pengendali takaful tradisional kepada penyedia penyelesaian patuh syariah hujung ke hujung untuk sentiasa bersama pelanggan di sepanjang perjalanan mereka, tidak terhad kepada hanya satu situasi atau sebagai langkah berjaga-jaga.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Elmie Aman Najas berkata, fokus syarikat adalah mencari kaedah baharu dan inovatif bukan sahaja dari segi tawaran produk, tetapi juga perkhidmatan tambah nilai untuk membawakan perubahan dalam hidup pelanggan.
“Susulan pandemik Covid-19, kami telah melihat peningkatan kesedaran serta minat untuk perlindungan takaful dan menerusi kerjasama 20,000 Perancang Hayat AIA Malaysia serta rakan kongsi, kami dapat memenuhi permintaan tersebut melalui keupayaan digital dan teknologi kami di samping memastikan keselamatan pelanggan dan ahli agensi.
“Sehingga kini, kami membantu menyediakan perlindungan komprehensif bernilai RM61 bilion kepada rakyat Malaysia untuk menghadapi peristiwa tak diduga.
“Takaful merupakan skim berasaskan konsep persaudaraan, perpaduan dan tolong-menolong antara peserta takaful. Bersama-sama peserta takaful, kami telah menyediakan sokongan kewangan bernilai RM1.3 bilion kepada lebih 170,000 keluarga di negara ini,” tambah Elmie.
Menurut beliau, pihaknya percaya AIA PUBLIC Takaful mempunyai proposisi patuh syariah, ekosistem, sumber dan peralatan yang tepat untuk memenuhi keperluan setiap pelanggan di semua peringkat kehidupan.
“Daripada pelan perlindungan mampu milik di bawah Perlindungan Tenang khusus buat golongan berpendapatan rendah sehinggalah penyelesaian perancangan legasi yang menawarkan pelanggan peluang untuk menyumbang semula kepada komuniti, faedah takaful kami bukan hanya memenuhi keperluan kewangan dan perlindungan pelanggan, malah membolehkan mereka melakukan amal jariah berterusan, walaupun apabila mereka sudah tiada,” jelasnya.
Sempena sambutan ulang tahun ke-10 AIA PUBLIC Takaful, pengendali takaful tersebut melancarkan Program Kongsi Rezeki, iaitu sebuah inisiatif komuniti dengan kerjasama Malaysian Relief Agency.
Melalui program ini, sebanyak 10 rumah anak yatim di seluruh negara menerima komputer riba baharu dan kelengkapan tempat tidur seperti katil dan tilam, selain keperluan harian lain.
Program itu melibatkan sumbangan bernilai RM250,000 untuk membantu lebih 500 anak yatim mendapat akses kepada pengalaman pembelajaran dalam talian yang lebih baik, di samping tempat tinggal yang lebih selesa.
“Kami berharap sumbangan ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban mereka sepanjang tempoh sukar ini sekali gus membantu anak-anak yatim terbabit lebih bersemangat untuk belajar,” jelasnya.
Bagi menghargai sokongan berterusan para pelanggannya, AIA PUBLIC Takaful turut melancarkan kempen #10TahunBersamaAnda, yang melibatkan penganjuran peraduan media sosial termasuklah permainan trivia interaktif yang sedang dijalankan sehingga 31 Oktober ini.
Sumber: