SHAH ALAM – Kerosakan akibat banjir yang melanda seluruh negara sejak Jumaat dianggar mencecah ratusan juta ringgit.
Presiden Malaysian Relief Agency (MRA), Dr Mohd Daud Sulaiman berkata, anggaran itu mengambil kira kepadatan penduduk terutama di Lembah Klang selain skala banjir kali ini yang menjejaskan lebih banyak kawasan.
“Kalau lihat skala rumah tenggelam, ia melibatkan kawasan agak besar. Tentunya situasi ini membabitkan kerosakan alat elektronik rumah dan kereta. Banjir kali ini berlaku dalam keadaan mengejut.
“Selain itu, kita lihat ada juga sekolah, pasar raya serta infrastruktur yang terkesan. Mungkin ratusan juta ringgit kos kerosakan harta benda kerana melibatkan semua kawasan di Lembah Klang secara serentak,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.
Mengulas mengenai bantuan diperlukan ketika ini, Dr Mohd Daud berkata, untuk peringkat awal, kerajaan perlu memastikan kecukupan bekalan makanan dan tempat perlindungan mangsa terlibat.
Katanya, bantuan selepas banjir pula perlu mengutamakan pemulihan infrastruktur utama rumah mangsa seperti pendawaian elektrik dan bekalan air bersih.
“Ini kerana bila rumah tenggelam ini dan berlaku secara mengejut pula, banyak harta benda tidak dapat diselamatkan seperti barangan asas perabot dan alat elektronik seperti peti ais di samping pakaian anak dan keperluan sekolah. Ini melibatkan kos yang tinggi.
Sumber:
https://premium.sinarharian.com.my/article/154414/fokus/semasa/kos-kerosakan-dianggar-cecah-ratusan-juta