Krisis Kemanusiaan Afghanistan: Respons Malaysian Relief Agency


[vc_row][vc_column][vc_column_text]

UNTUK SIARAN AKHBAR/MEDIA

KENYATAAN MEDIA

KRISIS KEMANUSIAAN AFGHANISTAN:

RESPONS MALAYSIAN RELIEF AGENCY

[/vc_column_text][vc_separator][vc_column_text]KENYATAAN MEDIA
MALAYSIAN RELIEF AGENCY (MRA) KUALA LUMPUR
4 Mei 2022

Krisis Kemanusiaan Afghanistan: Respons Malaysian Relief Agency

Apakah sebenarnya yang terjadi di bumi Afghanistan? Secara ringkasnya, Taliban telah menguasai Kabul, ibu negara Afghanistan pada 16 Ogos 2021 dan Amerika Syarikat (AS) telah angkat kaki dari tanah Afghanistan setelah menceroboh selama hampir 20 tahun di atas tiket serangan balas terhadap pelanggaran Pusat Dagangan Dunia di New York City pada 11 September 2001. Penguasaan Taliban ke atas Kabul juga sekaligus menjatuhkan kerajaan terdahulu yang didokong oleh Amerika Syarikat. Semenjak itu, Emiriah Islam Afghanistan yang dipimpin Taliban belum mendapat pengiktirafan rasmi daripada mana-mana negara dunia. Walaubagaimanapun, Taliban mula membuka ruang diplomasi dan giat menjalinkan hubungan dua hala dengan beberapa negara seperti Turki dan Qatar (Aaron Y. Zelin, The Washington Institute for Near East Policy, 17 Mac 2022). Namun begitu, masyarakat dunia masih skeptikal dengan kerajaan yang ditadbir oleh Taliban dan banyak isu hak asasi manusia yang dibangkitkan oleh pelbagai pihak terutamanya media barat.

Beberapa hari selepas pengambilalihan kerajaan oleh Taliban, Amerika Syarikat telah menyekat hampir USD9.5 Bilion aset Bank Pusat Afghanistan dan menghentikan penghantaran matawang dolar untuk menghalang Taliban mendapatkan dana kewangan (Saleha Mohsin, Bloomberg, 18 Ogos 2021). Ini menyebabkan aliran tunai dan kecairan aset dalam negara Afghanistan terganggu sekaligus menyebabkan kemelesetan ekonomi. Tambahan pula, 75% daripada perbelanjaan awam kerajaan terdahulu bersumberkan bantuan dana antarabangsa dan dana ini turut disekat (Priyanka Boghani, Frontline, 12 Oktober 2021). Sudah jatuh ditimpa tangga, kadar pengangguran dan kadar inflasi di Afghanistan turut meningkat. Hal ini demikian, menjadi resepi bencana yang menyebabkan Afghanistan menghadapi krisis kemanusiaan terburuk yang pernah dicatatkan dalam sejarah mereka. Situasi di Afghanistan memberi kesan kepada pekerja kemanusiaan di lapangan dalam membantu rakyat Afghanistan kerana saluran dana ke negara ini menghadapi sekatan.

Pada April tahun ini, Malaysian Relief Agency (MRA) telah mengambil inisiatif untuk menghantar tim ke lapangan untuk menjalankan misi kemanusiaan. MRA telah melaksanakan projek Million Breads for Afghanistan sepanjang bulan Ramadhan dan telah mengagihkan 1.32 Juta roti di 10 wilayah termasuk Kabul, Laghman, Nangarhar, Kunar, Badakhshan, Takhar, Kunduz, Herat, Helmand dan Kandahar. Agihan roti ini telah memberi manfaat kepada lebih 5,000 keluarga pada setiap hari di bulan Ramadhan. MRA juga telah membuka sebuah pejabat satelit yang berpusat di Kabul. Ini adalah salah satu langkah yang menunjukkan komitmen MRA untuk terus menjalankan misi bantuan yang memfokuskan projek-projek jangka masa panjang yang bersifat mampan. MRA sedang merangka beberapa projek dalam sektor pendidikan kesihatan, pemerkasaan komuniti serta air, sanitasi dan kebersihan (WASH). Projek-projek ini dilihat dapat membantu Afghanistan untuk menstabilkan sektor- sektor yang difokuskan bagi mengurangkan isu kemanusiaan yang sangat teruk di negara ini.

Isu keselamatan juga menjadi salah satu perkara yang amat dititikberatkan oleh pekerja kemanusiaan di lapangan terutamanya di negara konflik. Sepanjang tim MRA berada di lapangan, situasi keselamatan di negara ini dilihat semakin meningkat daripada sebelumnya dan pergerakan dari satu wilayah ke satu wilayah juga adalah selamat selagi pengurusan risiko dibuat secara teratur. Kerajaan Emiriah Islam Afghanistan juga telah memberi jaminan keselamatan bertulis kepada Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu untuk pekerja kemanusiaan menjalankan bantuan di seluruh negara (Patrick Wintour, The Guardian,13 September 2021) dan perkara ini dapat dilihat apabila mereka mula menambah pos kawalan dan meningkatkan sekuriti di seluruh negara terutamanya di tempat awam seperti lapangan terbang dan tempat ibadat. Namun, usaha Taliban dalam menstabilkan situasi di Afghanistan dilihat akan mengambil masa dan masyarakat dunia melalui badan kerajaan dan badan bukan kerajaan perlu memberi bantuan serta perlu lebih cakna tentang isu di sini khususnya dalam isu kemanusiaan. Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) juga menggesa negara ahli dan bukan ahli untuk membantu Afghanistan yang merupakan negara majoriti Muslim untuk meringankan beban yang ditanggung rakyat negara ini (OIC, 18 Disember 2021).

Pejabat Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu untuk Koordinasi Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) telah melaporkan 24.4 Juta rakyat Afghanistan memerlukan bantuan kemanusiaan di dalam pelbagai sektor yang akan memakan kos kira-kira USD4.4 Bilion. Pada 6 Januari 2022, OCHA telah mengeluarkan satu pelan yang melaporkan terdapat 698 Ribu orang pelarian dalam negara yang berpindah dari satu wilayah ke wilayah lain akibat peperangan pada tahun 2021. 59% daripada jumlah ini adalah kanak-kanak (OCHA, 11 Januari 2022). Kanak-kanak ini tiada sekuriti makanan, tempat berteduh yang ideal, pendidikan yang berkualiti dan kesihatan yang terjamin. Krisis ini perlu mendapat lebih perhatian daripada dunia untuk membela masa depan kanak-kanak yang menjadi mangsa peperangan beberapa dekad lamanya. Semoga ada sinar harapan bagi mereka untuk tumbuh hidup sebagai manusia dengan seadil-adilnya.

Harapan pekerja kemanusiaan yang sedang berada di lapangan adalah agar lebih banyak pihak dapat membantu rakyat Afghanistan untuk keluar daripada kemelut kemanusiaan. Isu kemanusiaan tidak seharusnya dipolitikkan dan dipandang sebelah mata kerana ianya melibatkan nyawa dan kehidupan seseorang manusia. Semoga usaha MRA di lapangan dapat membuka lebih banyak mata dan dapat memberi keadilan serta hak yang
sewajarnya kepada mereka yang memerlukan. MRA juga turut membantu mereka yang sedang memerlukan di bumi Palestin, Yaman, Somalia, Bangladesh dan di beberapa negara lain. Tidak lupa juga negara tumpahnya darah, Malaysia menjadi fokus utama MRA yang mempunyai sekretariat di seluruh negeri di Malaysia yang sangat aktif di lapangan kemanusiaan di setiap negeri.

J Idlan Shya 4 Mei 2022
Kabul, Afghanistan[/vc_column_text][/vc_column][/vc_row][vc_row][vc_column][vc_gallery interval=”3″ images=”12184,12186,12188,12190,12192,12194,12196″ img_size=”full”][/vc_column][/vc_row]


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *