MRA gerakkan bantuan kecemasan ke Turkiye, Syria

KUALA LUMPUR: Malaysian Relief Agency (MRA) menggerakkan bantuan kecemasan meliputi makanan, perubatan, khemah dan bantuan musim sejuk bagi meringankan beban mangsa yang terselamat dalam tragedi gempa bumi di Turkiye serta Syria.

Presidennya, Dr Mohd Daud Sulaiman, berkata untuk bantuan awal, MRA akan menyumbangkan sebanyak RM100,000 dengan segera kepada rakyat kedua-dua negara berkenaan melalui rakan kerjasama di lapangan, iaitu Medics World Wide dan Bonyan Organization.

Selain itu, beliau berkata, MRA juga bakal menghantar pasukan terdiri daripada enam individu ke Turkiye dan Syria, dalam masa terdekat.

“Mereka juga akan menjadi pasukan peninjau awal dan menyalurkan bantuan kecemasan daripada rakyat Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Dr Mohd Daud berkata, penduduk di utara Syria yang berdepan perang saudara sejak bertahun-tahun lamanya dan hanya tinggal di kem pelarian, menghadapi detik kian getir susulan insiden berkenaan.

“Ini kerana peperangan masih berlaku dan bantuan dijangka sukar untuk masuk ke kawasan terbabit yang memang sudah lama tidak mencukupi,” katanya.

Beliau berkata, MRA juga ingin merakamkan perasaan simpati terhadap keluarga mangsa tragedi gempa bumi berukuran 7.8 pada skala Richter itu yang berpusat di wilayah Gaziantep.

“Ia turut merobohkan kediaman, menyebabkan kemusnahan harta benda awam, mengorbankan lebih 8,000 nyawa dan menyebabkan lebih 30,000 orang cedera di kedua-dua negara.

“Lebih malang lagi, kejadian itu berlaku ketika musim salji dan hujan lebat sehingga menyebabkan beribu-ribu mangsa yang terselamat serta masih terperangkap, berada dalam kesejukan.

“Hingga kini, proses mencari dan menyelamat mangsa masih dijalankan. Kejadian gempa bumi ini dikatakan tragedi paling dahsyat di Turkiye sejak 1939,” katanya.

MRA sekali gus merayu orang ramai supaya menyumbang kepada usaha bantuan itu melalui Tabung Kecemasan Gempa Bumi Turkiye-Syria yang boleh disalurkan ke dalam akaun Maybank Malaysian Relief Agency Berhad: 5640 9820 8020 dengan Rujukan: Gempa atau boleh ke laman sesawang berikut, https://www.billplz.com/mraearthquaketurkiye

 

Sumber : https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2023/02/1061397/mra-gerakkan-bantuan-kecemasan-ke-turkiye-syria

2021© MRA - Malaysian Relief Agency