Maklumbalas kenyataan YB Menteri Pertahanan

Dr Mohd Daud Bin Sulaiman

Presiden, Malaysian Relief Agency (MRA)

Kenyataan Media
Malaysian Relief Agency (MRA)
Kuala Lumpur
29/3/2020

1. Malaysian Relief Agency (MRA) memandang serius kenyataan yang dikeluarkan oleh YB Dato’ Sri Ismail Sabri Bin Yaakob, Menteri Pertahanan Malaysia berikutan arahan tidak membenarkan Badan Bukan Kerajaan (NGO) untuk menyampaikan barangan makanan dari rumah ke rumah sebaliknya menghantar ke pusat Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi tujuan pengedaran.

2. MRA sebagai sebuah sebagai organisasi bantuan kemanusiaan yang beroperasi di dalam dan luar negara menyanjung usaha kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak ia dilaksanakan bagi membendung penyebaran virus Covid-19.

3. Ketua Pengarah Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di dalam surat bertarikh 21 Mac 2020, telah memberi kebenaran bertugas khas kepada MRA untuk membantu KKM menangani penularan kluster Covid-19 di dalam tempoh PKP ini.

4. Dengan adanya surat kebenaran khas ini, MRA telah meyampaikan sumbangan bantuan peralatan perubatan dan pek makanan kepada ribuan barisan hadapan KKM melalui MRA pusat dan negeri yang sedang beroperasi di seluruh negara iaitu di Kuala Lumpur, Selangor. Kedah, Pulau Pinang, Perak, Johor, Kelantan, Terengganu, Sabah dan Sarawak.

5. Bagi fasa bantuan yang seterusnya, MRA akan mengedar Alat Perlindungan Diri (PPE) bergred tinggi, cecair disinfektan, ratusan ribu topeng muka dan mesin-mesin bantuan pernafasan (ventilators) bagi kegunaan kakitangan Unit Kawalan Rapi (ICU) di hospital negeri dan daerah di seluruh Malaysia hasil sumbangan penderma. Dengan adanya surat dari KKM ini, ia amat-amat membantu MRA bagi melaksanakan edaran ini sewaktu PKP dilaksanakan.

6. Sejak arahan PKP dilaksanakan, MRA telah mendapat banyak maklumbalas daripada pelbagai golongan yang memerlukan. Sebagai sebuah organisasi kemanusiaan yang mendengar denyut nadi rakyat, MRA menyantuni golongan yang keputusan sumber bekalan makanan melalui sumbangan pek makanan kepada golongan asnaf miskin di bandar dan pendalaman, orang kurang upaya, anak-anak yatim, mahasiswa di univeristi, komuniti orang asli, penduduk tanpa dokumen (di Sabah) dan komuniti pelarian di Malaysia.

7. Sumbangan bantuan bekalan makanan ini melibatkan hampir 5,000 keluarga penerima dari seluruh negara dan bakal meningkat setiap hari. MRA menyasarkan 3,000 keluarga asnaf yang terputus bekalan di kawasan Lembah Klang dan Selangor akan disantuni melalui program edaran pek makanan oleh MRA dalam masa terdekat. MRA juga sedang bekerjasama dengan UNHCR bagi membantu 1000 keluarga pelarian UNHCR yang keputusan bekalan makanan di seluruh Malaysia.

8. MRA ingin melahirkan kebimbangan sekiranya pek sumbangan makanan yang diletakkan di pusat JKM tanpa bantuan edaran daripada NGO tidak sampai ke kumpulan sasaran yang dinginkan kerana ia melibatkan tenaga manusia yang besar dan mencukupi kawasan geografi penghantaran yang luas. JKM sendiri memang sudah sedia sibuk menguruskan pusat kuarantin yang banyak dibuka bagi menangani wabak ini.

9. Justeru, besarlah harapan MRA agar arahan daripada YB Menteri Pertahanan dikaji semula dan diperhalusi bagi kebaikan semua pihak. MRA juga berharap berharap satu mesyuarat kordinasi khusus di antara Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat (KPWKM), NADMA dan agensi kerajaan terlibat dengan wail-wakil NGO Bantuan Kemanusiaan diadakan dengan kadar segera.

10. MRA mengalu-alukan sumbangan anda ke “Tabung Bantuan Covid-19 MRA” melalui akaun Bank RHB Malaysian Relief Agency Foundation melalui no akaun 264245 0000 7270.

Sekian, Terima Kasih