MALAYSIAN RELIEF AGENCY (MRA) BANTU GOLONGAN B40 DAN PELARIAN

KENYATAAN MEDIA
MALAYSIAN RELIEF AGENCY (MRA) KUALA LUMPUR
5 Oktober 2020

 

Pandemik COVID-19 mendatangkan kesan langsung kepada ekosistem perniagaan domestik seperti industri makanan dan minuman, industri pelancongan, serta industri pertanian, pembinaan dan perkhidmatan. Ini sekaligus mengakibatkan ramai kehilangan pekerjaan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan sehingga kini. Sehubungan dengan itu, MRA telah mengambil inisiatif dengan menganjurkan program “Kempen Prihatin Merdeka MRA” bagi menyahut tema kemerdekaan pada tahun ini iaitu ‘Malaysia Prihatin’ dalam membantu golongan yang terkesan ini.

Program Merdeka Prihatin MRA yang pertama membabitkan golongan gelandangan yang diadakan pada sambutan hari kebangsaan pada tanggal 31 Ogos yang lepas di Pusat Gelandangan Dapur Kausar, Seremban di mana program ini mendapat beberapa tajaan daripada pelbagai pihak seperti ​Yayasan NAMA, Yayasan Food Bank Malaysia ​sebagai penaja utama sepanjang kempen ini di laksanakan dan juga ​NFA Technologies Sdn Bhd serta Mamee.​

Program ini diteruskan lagi di kawasan Shah Alam dan Port Klang melibatkan golongan pelarian pada 3 Oktober 2020 dan B40/Asnaf pada 4 Oktober 2020. Program ini adalah salah satu inisiatif dan keprihatinan MRA untuk membantu golongan yang terkesan meneruskan kelangsungan hidup seharian mereka terutama dalam situasi semasa. Turut hadir pada program kali ini ialah Dr Saleh Bazead, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan NAMA serta Tuan Haji Abdul Wahab Long, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan ​Food Bank ​Malaysia. Sumbangan “Pek Prihatin Merdeka MRA” yang di agihkan mengandungi makanan kering seperti, gula, biskut, beras, tepung dan barangan kebersihan diri. Program ini juga menawarkan pemeriksaan kesihatan percuma oleh pasukan sukarelawan perubatan MRA.

Dengan adanya program sebegini, Malaysian Relief Agency (MRA) berharap program ini dapat meringankan beban mereka yang terjejas. MRA juga amat berbesar hati untuk menerima lebih banyak rakan kolaborasi dan sumbangan di masa hadapan serta akan terus komited dalam membantu mereka yang memerlukan.

Untuk maklumat lanjut mengenai program Malaysian Relief agency (MRA), hubungi 03-9174 4672 atau layari laman web rasmi MRA ​www.mra.my dan ikuti perkembangan terkini MRA melalui media sosial MRA di Facebook, Instagram, Twitter dan Youtube.

“Sebaik-baik Manusia Adalah Yang Paling Bermanfaat Kepada Yang Lain”

 

Dr Mohd Daud Bin Sulaiman

Presiden