MRA DAN CELCOM SANTUNI GOLONGAN MISKIN BANDAR KETIKA PKPB

KENYATAAN MEDIA
MALAYSIAN RELIEF AGENCY (MRA) KUALA LUMPUR
06 Disember 2020

 

Hari Sukarelawan Antarabangsa merupakan satu pengiktirafan terhadap gerak kerja dan aktiviti sukarelawan di seluruh dunia daripada semua pihak termasuklah Badan Bukan Kerajaan (NGO). Setinggi penghargaan diucapkan kepada sukarelawan barisan hadapan yang terlibat dalam misi kemanusiaan dalam memerangi wabak Covid-19 ini. Bersempena Hari Sukarelawan Antarabangsa ini, MRA telah mengambil inisiatif untuk membantu lebih ramai golongan miskin bandar yang menyewa rumah melalui Program Perumahan Rakyat (PPR).

MRA percaya golongan ini sudah pasti menghadapi tekanan dan berdepan cabaran hilang punca pendapatan pada waktu PKPB. Oleh itu, Malaysian Relief Agency (MRA) dengan kerjasama Musolla An Nur Celcom bersama-sama menyalurkan bantuan keperluan asas kepada 100 keluarga Asnaf PPR bertempat di Kampung Muhibbah Fasa II, Kuala Lumpur.

Program penyerahan pek makanan asas tersebut diwakili oleh Ketua Perhubungan Kerajaan dan Tanggungjawab Korporat Encik Areehan Abdullah, dan Pegawai perhubungan Kerajaan Encik Fadzly Kamaruzaman dari pihak Celcom Axiata serta Timbalan Presiden MRA iaitu Hj. Khairil Annuar Khalid.

Antara barang keperluan asas yang disumbangkan ialah beras, minyak masak, tepung gandum, gula, garam dan lain-lain. Penyaluran bantuan ini adalah bagi meringankan beban mereka sepanjang tempoh penguatkuasaan PKPB yang dilaksanakan oleh pihak kerajaan. Di samping itu, pihak Celcom juga bercadang untuk mengenal pasti 20 orang pelajar di PPR Muhibbah yang bakal menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak lama lagi untuk menerima bantuan pendidikan digital Celcom bagi memudahkan pembelajaran mereka.

MRA berasa sedih atas penderitaan golongan Asnaf yang terputus bekalan makanan sepanjang PKPB dilaksanakan dan MRA mengalukan sebarang sokongan serta bantuan daripada pihak korporat, agensi kerajaan serta orang ramai bagi membantu meringankan beban mereka sepanjang tempoh PKPB ini. Pastinya masih ramai lagi rakyat yang terkesan dan memerlukan bantuan. Semoga kita, rakyat Malaysia terus kuat dan tabah menghadapi cabaran ini.

Sementara itu, bagi mereka yang ingin membuat sumbangan boleh berbuat demikian dengan menyalurkan sumbangan ke akaun Maybank MRA iaitu 5640 9820 6365 (Malaysian Relief Agency) untuk menyokong usaha MRA dalam membantu komuniti yang terjejas akibat COVID-19 di Malaysia.

Untuk maklumat lanjut mengenai program Malaysian Relief agency (MRA), sila hubungi 03- 9174 4672 atau layari laman web rasmi MRA www.mra.my dan ikuti perkembangan terkini MRA melalui Facebook, Instagram dan Youtube.

“Sebaik-baik Manusia Adalah Yang Paling Bermanfaat Kepada Yang Lain”

 

Hj. Khairil Annuar Khalid

Timbalan Presiden MRA