• Hotline: +603-9174 4672
  • C 45-2, Jalan Danau Lumayan, Bandar Sri Permaisuri Cheras, 56000 Kuala Lumpur
  • +603-9174 4672

ZAHRA , DERITA TANPA AIR MATA

 

BUMI TANPA KATA

Lapangan kemanusiaan bukanlah satu perkara yang cukup asing bagi saya. Hampir 20 tahun berkhidmat secara sukarela, saya melalui bermacam-macam situasi yang cukup mengajar saya betapa kehidupan ini bukanlah suatu perjalanan yang mudah.

Suara sakit anak-anak kecil, ibu tua di khemah-khemah pelarian sering mencengkam memori dan ini menyedarkan saya bahawa dalam kehidupan ini kita harus terus memberi tanpa mengharapkan imbuhan dan sentiasa berjiwa besar. Apa yang saya mahu ceritakan kali ini adalah sebuah cerita yang cukup melukakan hati.

Ya, melukakan hati saya. Kerana kisah kemanusiaan ini masih belum bertemu penghujungnya.

Sepanjang kerjaya sebagai seorang doktor perubatan yang menghambakan diri di lapangan kemanusiaan sejak dari zaman mahasiswa, tidak pernah saya lalui detik-detik yang cukup menyayat hati seperti apa yang berlaku di Yemen. Namun inilah lumrah yang harus saya telan, dalam kebobrokan rakusnya sifat tamak manusia, ramai yang menderita tanpa kata-kata dalam aturan yang tidak pernah adil.

Di awal April lalu, baru-baru ini saya berpeluang untuk merentasi bumi Yemen, sebuah negara Islam yang cukup terkenal dengan ketamadunan dan sisipan sejarah Islam yang cukup agung sehingga disebut oleh Baginda Nabi Muhammad S.A.W. Namun hari ini, Yemen bukanlah seperti dahulu, semenjak krisis dan konflik besar yang melanda Yemen pada tahun 2015, negara ini telah berubah akibat perang saudara yang cukup besar dan menghumban impak yang cukup buruk buat negara yang mundur ini.

Melalui laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sehingga hari ini jumlah penduduk Yemen yang terkesan dengan dengan peperangan adalah hampir 22 Juta orang di seluruh negara, angka ini sangat dekat dengan jumlah penduduk kita di Malaysia.

Saya harus akui, hati saya cukup terluka melihat kesan peperangan di bumi Yemen ini di hadapan mata sendiri. Tanpa pendedahan oleh pihak dunia secara menyeluruh, saya terpaksa akui situasi di Yemen terlalu buruk.

 

SUARA HATI RAKYAT YEMEN

Saya tahu jika saya berkata-kata tentang suasana politik yang berlaku di Yemen bukan satu perkara yang mudah, malah jika mereka yang tidak pernah sampai ke bumi ini pasti hanya mendengar kisah yang hanya muncul sekali sekala di media semasa. Hanya isu pergelutan Sunni dan Syiah dan campur tangan negara jiran, Arab Saudi.

Namun, apabila saya sendiri berada di sana dan melihat sendiri suasana politik yang berlaku ianya terus merubah pemikiran saya tentang persepsi yang bermain sebelum saya tiba di sini. Malah keluhan dari rakyat tempatan juga saya dengari dan fahami cerita isi hati mereka.

Pasca peperangan yang berlaku di Yemen sememangnya suatu perkara yang subjektif. Sejak penyatuan Yemen Utara dan Yemen Selatan sejak 28 tahun dahulu (1990), keadaan politik di Yemen tidak pernah berada dalam keadaan yang stabil malah dengan penyatuan ini hanya berpaut pada asas pentadbiran negara semata-mata.

Isu Sunni dan Syiah masih menjadi persepsi sesama mereka apatah lagi kuasa kumpulan-kumpulan kabilah menyukarkan penyatuan ini bergabung secara penuh dan akhirnya ketika panasnya Timur Tengah dengan kebangkitan “Arab Spring” menjadikan Yemen terus bergelojak untuk turut serta dalam kebangkitan tersebut.

Api kemarahan ini menjadikan akhir tahun 2014 sehinggalah tahun 2015 antara tahun terburuk dalam krisis peperangan saudara yang mengakibatkan dua pertiga penduduk Yemen menderita sehingga hari ini.

Keterlibatan tentera bersekutu dari Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada mulanya dilihat sebagai sinar baru buat rakyat Yemen agar krisis ini dapat ditamatkan. Namun, ia tidak dilihat begitu manis sehingga hari ini.

Rata-rata penduduk Yemen yang kami jumpa meluahkan rasa kesal kepada kerajaan pasca peperangan  yang tidak begitu  kisah terhadap isu negara sehingga membiarkan kuasa negara bersekutu ini megambil alih sebahagian besar negara ini seperti pelabuhan besar di Yemen seperti Aden, selatan Yemen dan Mukalla, Hadramawt. Malah banyak kawasan hasil minyak dan gas asli Yemen turut dikawal oleh tenterà bersekutu.

Rakyat Yemen mula mempersoalkan dimana nilai kemanusiaan utama yang harus didahulukan dan dibantu ?

Pastinya ini bukan pandangan peribadi saya, namun inilah cerita yang saya dengar dan fahami. Sebagai sukarelawan bantuan kemanusiaan, saya hanya mampu mendengar dan saya ada tugas yang lebih besar, membantu mereka yang benar-benar memerlukan.

 

ZAHRA , MATA HATI SAYA

Ketika saya berada di Aden di salah sebuah wilayah selatan Yemen, saya berpeluang melakukan kerja lapangan di Al-Sadaqa Hospital salah sebuah hospital kerajaan di sini. Melalui pintu masuk utama hospital sudah membuatkan saya tertanya – tanya apa sebenarnya yang berlaku di sini. Mengapa rakan NGO kami di Yemen benar-benar mahu kami melawat Hospital usang ini.

Setelah diberi penjelasan mengenai perjalanan hospital, saya dibawa ke wad paling kritikal di mana-mana hospital dalam dunia ini, wad unit rawatan rapi. Sepanjang pengalaman saya, wad seperti ini harus berada dalam keadaan yang cukup baik dan harus diberi perhatian serius. Tetapi tidak bagi hospital ini.

Wad ini disini benar-benar daif dan tidak seharusnya dipanggil wad unit rawatan rapi. Segala-segala tiada melainkan katil usang dan tangki oksigen lama. Keadaan lif-lif yang rosak tidak tanpa penyelenggaraan menjadikan keadaan lebih rumit kepada pekerja dan pesakit di hospital tersebut yang merupakan salah satu hospital kerajaan yang utama di bandar Aden.

Mata saya terpana ke salah sebuah katil di mana ada anak kecil yang cukup kurus sedang menangis sambil ditatang ibunya. Hati saya mula tertanya-tertanya, apa kisah anak kecil ini. Setelah diberitahu doktor yang bertugas, anak ini menghidap penyakit jantung berlubang dan anak kecil yang kami panggil Zahra ini tidak ada harapan untuk hidup.

Sebagai seorang pakar perunding di dalam bidang kardiologi, situasi tanpa harapan ini amat sukar untuk diterima, malah di negara bergolak lain , peluang anak kecil yang menghidap penyakit ini tetap ada untuk dibedah. Namun, seluruh hospital kerajaan di Yemen pada umumnya hari ini; mereka tidak mampu menyediakan pembedahan seperti ini akibat bahana perang saudara yang hampir melumpuhkan seluruh perkhidmatan kesihatan awam di Yemen.

Zahra yang manis matanya ini berhadapan dengan situasi yang cukup sukar. Saya hanya melihat lemah mata ibunya yang sudah kekeringan air mata. Tinggal doa dan redha. Berat kaki saya untuk meninggalkan Zahra tanpa sebarang kata-kata.

Saya hanya berkata kepada ibu Zahra dan Dr. Nailah yang merupakan pakar pediatrik di hospital tersebut yang saya tidak akan berhenti untuk melakukan sesuatu untuk menyelamatkan Zahra yang hanya memerhatikan gelagat kami sambil bernafas dengan bantuan oksigen.

Sebaik pulang dari Yemen saya memulakan usaha mencari dana untuk membantu Zahra dan kami berusaha untuk menghantar Zahra ke salah sebuah hospital di Mukalla, Hadramawt. Namun kes Zahra terpaksa ditolak kerana pihak hospital tidak dapat meneruskan pembedahan dek kerana peralatan dan kepakaran yang tidak cukup serta keadaan tumbesaran Zahra yang dikatakan belum bersedia untuk sebarang pembedahan segera dapat dilakukan. Agak mustahil untuk membawa Zahra keluar dari bumi Yemen kerana pengangkutan udara komersial yang tidak menentu serta tidak berjadual.

Sia-sia perjalanan Zahra hampir 1200 kilometer berulang alik untuk mendapatkan bantuan perubatan di Mukalla dengan ambulans merentasi jalan gurun yang penuh cabaran.

Lebih menyayat hati, ketika Zahra pulang semula ke Hospital Al Sadaqa di Aden, berlakunya mogok di kalangan pekerja hospital sehinggakan Zahra yang sangat memerlukan pemerhatian rapi hanya dibantu oleh jururawat bertugas secara sukarela dan Zahra serta ibubapanya melaluinya dengan penuh keperitan dan kekecewaan.

Ketika anda sedang membaca cerita ini, Zahra sudah bertemu dengan Pencipta-Nya yang Maha Menyayanginya yang lebih faham betapa lukanya perjalanan hidup yang penuh derita ini pada 5 Ramadhan lalu. Anak tunggal dari pasangan suami isteri dari Aden yang telah berkahwin hampir 10 tahun telah pergi selama-lamanya sebelum sempat dilakukan pembedahan jantung ke atasnya.

Kisah Zahra ini begitu meninggalkan kesan yang mendalam dalam hati saya.

 

YEMEN, KAMI DENGAR SUARA KALIAN

Ketika berada di Shabwah salah satu wilayah di tengah Yemen, saya berpeluang untuk melaksanakan  klinik pemeriksaan jantung selama sehari suntuk dibantu oleh para doktor tempatan. Rata-rata pesakit yang datang mengalami masalah jantung yang cukup serius, namun kebanyakan dari mereka tidak mampu meneruskan rawatan kerana di hospital ini tidak ada kemudahan serta faktor kemiskinan ditambah pula dengan faktor keselamatan yang tidak menentu. Menemui pesakit-pesakit jantung yang masih muda mengalami komplikasi seperti Eisenmenger’s syndrome akibat tiada kemudahan rawatan adalah mimpi ngeri kepada mana-mana doktor jantung yang prihatin. Mereka hanya menunggu masa dijemput Ilahi.

Malah, saya difahamkan mereka terpaksa ke wilayah lain yang jauhnya hampir 700 – 800 kilometer untuk mendapatkan rawatan lanjut, itupun jika ada. Sukar untuk saya menerima situasi yang cukup menyedihkan ini.

Kesan peperangan betul – betul menghancurkan harapan dan meninggal Yemen tanpa kata.

Ini bukan cerita dan perkara yang saya mahu kita baca dan lihat sahaja. Saya dan anda yang membaca harus melakukan sesuatu untuk mereka kekal hidup dan tidak terus dibisukan oleh warga dunia yang bangga dengan ketamaddunannya.

Saya akui memang sukar untuk berkata-kata tentang konflik yang berlaku di Yemen, tapi biarlah kali ini saya berdiri atas nama kemanusiaan yang luhur, saya tidak sanggup lagi melihat duka dan lara di mata Zahra dan mereka yang lain.

Perjuangan kemanusiaan ini bukan sehari dua saya dan rakan – rakan di Malaysian Relief Agency (MRA) lakukan, malah sejak 2015 kami telah memulakan misi kemanusiaan di bumi Yemen melalui beberapa siri bantuan dari segenap aspek khususnya perubatan, makanan asas, kit kebersihan dan projek pam air bersih berkuasa suria.

Saya merayu kepada pembaca yang budiman dan berhati mulia untuk sama berdiri dengan kami untuk terus tidak diam membunyikan suara kemanusiaan untuk bumi dan rakyat Yemen.

Tulisan;

Dr Mohd Daud Sulaiman

Presiden

Malaysian Relief Agency (MRA)

# Beliau dan pasukan sukarelawan MRA telah merentasi bumi Yemen sejauh 3000 km melalui jalan darat dari Salalah, Oman untuk meninjau keadaan sebenar di lapangan sambil menghulurkan bantuan rakyat Malaysia di Shabwah, Abyan, Aden (selatan Yemen) dan Mukalla, Tarim, Seiyun (Hadramawt) pada awal April lalu.

 

Tags CLOUD

LEAVE A COMMENT